Konflik Rusia-Ukraine Beri Manfaat Kepada Ekonimo Amerika Syarikat: LE Maire

Business & Finance
12 Oct 2022 • 7:41 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

PARIS, 12 Okt (Bernama) — Konflik Rusia-Ukraine serta krisis tenaga yang berlaku boleh menjurus kepada dominasi ekonomi oleh Amerika Syarikat, demikian amaran Menteri Ekonomi dan Kewangan Perancis Bruno Le Maire pada Isnin, lapor Xinhua.

Bercakap pada Perhimpunan Kebangsaan Perancis, Le Maire berkata beliau bimbang Amerika Syarikat (AS) akan meraih manfaat daripada situasi itu sehingga menjejaskan kepentingan Eropah.

Menurut Le Maire, AS menjual gas asli cecair (LNG) ke Eropah pada harga “empat kali ganda” daripada harga yang dijualnya kepada pembekal Amerika.

Beliau menegaskan mengenai perlunya untuk membina “hubungan ekonomi yang lebih seimbang dalam isu tenaga antara sekutu Amerika kita dan benua Eropah.”

Kenyataan Le Maire dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap harga LNG yang diimport dari AS dan Norway.

Menurut laporan BFMTV, AS menyediakan 500 juta euro sebagai bantuan kepada pengusaha industri dan petani untuk menggalakkan mereka meningkatkan pengeluaran.

Industri senjata Amerika juga boleh memperoleh manfaat daripada konteks antarabangsa, kata BFMTV.

Pada Mac, Jerman mengumumkan telah menempah 35 jet pejuang daripada pengeluar Lockheed Martin.

Sumber: BERNAMA