Konflik Thailand-Kemboja: Trump Akan Buat Panggilan Telefon

WorldPolitics
10 Dec 2025 • 3:24 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja kembali memuncak hingga memaksa ratusan ribu penduduk dipindahkan, dan dalam situasi genting itu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tampil dengan kenyataan bahawa beliau merancang “membuat satu panggilan telefon” bagi meredakan konflik tersebut.

Rancang buat panggilan telefon

Memetik laporan daripada AFP, Trump ketika berucap dalam satu kempen di Pennsylvania  menyebut pertempuran yang kembali tercetus itu sebelum menyatakan hasrat membuat panggilan telefon untuk menghentikan peperangan tersebut.

“Esok, saya perlu membuat panggilan telefon, dan saya rasa mereka akan faham… Siapa lagi boleh berkata,
“‘Saya akan membuat satu panggilan telefon dan menghentikan perang antara dua negara yang sangat berkuasa’?” ujarnya.

image is not available

Buat panggilan susulan konflik memanas antara 2 negara

Trump sebelum ini menandatangani gencatan senjata antara kedua-dua negara pada Oktober, namun pertikaian sempadan berusia lebih 100 tahun itu kembali memanas.

Pertempuran yang bermula semula minggu ini menyaksikan lebih 500,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan di Thailand dan Kemboja.

image is not available

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri, berkata lebih 400,000 orang terpaksa dipindahkan kerana ancaman keselamatan yang serius, manakala Kemboja melaporkan lebih 101,000 penduduk turut diarahkan ke kawasan selamat.

Konflik yang melibatkan tuntutan bersaing terhadap kawasan kuil sempadan itu kini dianggap antara kejadian paling serius sejak pertempuran Julai lalu yang meragut puluhan nyawa.

Kedua-dua negara saling menuding jari atas punca tercetusnya pertempuran terbaru itu, yang kini merebak melibatkan lima wilayah.

Dalam keadaan tegang ini, dunia menunggu sama ada panggilan telefon Trump mampu sekali lagi menjadi pencetus gencatan senjata seperti sebelum ini.

Sumber: AFP

The post Konflik Thailand-Kemboja: Trump Akan Buat Panggilan Telefon appeared first on Borak Daily.