Konflik Timur Tengah belum jejas industri semikonduktor negara - Amir Hamzah

LocalBusiness & Finance
18 May 2026 • 4:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Konflik Timur Tengah belum jejas industri semikonduktor negara - Amir Hamzah
Amir Hamzah

GEORGE TOWN - Konflik yang berlarutan di Timur Tengah setakat ini masih belum menjejaskan industri semikonduktor di Malaysia termasuk di Pulau Pinang apabila pemain industri berjaya menguruskan isu rantaian bekalan dengan baik.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, syarikat pengeluar semikonduktor utama terutama pengeluar besar dan kilang fabrikasi (fab) memiliki ekosistem rantaian bekalan yang kukuh serta mampu menyesuaikan operasi dengan situasi semasa.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa kekangan bekalan susulan konflik di Timur Tengah, industri berkenaan masih mampu beroperasi seperti biasa.

“Masalah bekalan, mereka mampu menguruskannya terutama kalau melibatkan pembuatan yang berskala besar, fab yang besar, ekosistem rantaian bekalannya bagus.

"Mereka dapat menyesuaikan keadaan tersebut. Mungkin terdapat syarikat berskala kecil yang berdepan sedikit masalah kerana belum biasa berurusan dengan pembekal baharu, namun isu berkenaan masih boleh ditangani,” katanya selepas membuat lawatan ke Projek Intel Pelican di Bayan Lepas di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada konflik di Timur Tengah memberi kesan kepada industri semikonduktor di Malaysia dan Pulau Pinang.

Menurut Amir Hamzah, konflik yang memasuki bulan ketiga itu sememangnya memberi cabaran besar kepada ekonomi global terutama daripada segi kenaikan harga minyak dan bekalan tenaga dunia.

Tambahnya, harga minyak mentah Brent kini meningkat sehingga mencecah AS$111 setong berbanding sekitar AS$65 hingga AS$70 sebelum konflik tercetus.

“Yang lebih penting daripada isu Timur Tengah ialah daripada segi bekalan kerana 20 peratus daripada sumber minyak dunia keluar daripada Timur Tengah.

“Masalahnya ialah untuk memastikan cukup atau tidak bekalan di negara-negara yang ada,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia masih berada dalam keadaan stabil kerana mempunyai pengeluaran minyak domestik selain sokongan syarikat petroleum seperti Petronas yang membantu menjamin kestabilan bekalan.

“Di Malaysia kita bernasib baik. Kita ada pengeluaran minyak dalam negara yang menampung sebahagian keperluan dan operator seperti Petronas serta syarikat minyak lain membantu menjamin kestabilan bekalan.

“Jadi kita tak tengok isu orang tak dapat minyak atau industri tak boleh berjalan kerana tiada bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah mengakui, terdapat beberapa bahan penting dalam industri semikonduktor yang berdepan kekangan bekalan sekiranya keadaan di Timur Tengah tidak stabil.

Menurutnya, bagaimanapun pemain industri global kini mula mencari sumber alternatif bagi memastikan rantaian bekalan terus berjalan.

“Ada beberapa barang dalam semikonduktor yang memang susah didapat kalau Timur Tengah tak stabil. Bekalan macam helium dulu ada kekangan.

“Tapi sekarang rantaian bekalan dunia telah bergerak mencari sumber-sumber baharu untuk menggantikan,” katanya.

Beliau menambah, permintaan terhadap semikonduktor berkaitan kecerdasan buatan (AI) juga masih kekal tinggi kerana operasi industri itu masih berjalan lancar meskipun berdepan tekanan global.