
WASHINGTON: Anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) kembali mendesak penjelasan berhubung keadaan di atas kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln, susulan laporan yang mencetuskan kebimbangan mengenai masalah lebih serius.
Dalam sekurang-kurangnya tiga gesaan berasingan, anggota Parti Demokrat meminta maklumat lanjut mengenai persediaan Tentera Laut AS sebelum kapal berkenaan memulakan tugasan yang memecahkan rekod.
Kapal pengangkut pesawat itu terlibat dalam operasi ketenteraan terhadap Venezuela serta perang AS-Israel ke atas Iran sejak berlepas dari San Diego, California, pada November lalu.
Kapal berkenaan masih belum berlabuh di mana-mana pelabuhan sejak itu dan berada di laut lebih 260 hari, sekali gus memecahkan rekod Tentera Laut AS bagi tempoh penugasan paling lama tanpa persinggahan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, laporan turut muncul mengenai anggota kru yang cuba terjun ke laut, dipercayai susulan kekurangan makanan dan bekalan lain.
Kelmarin, Wakil AS, Pat Ryan, menerbitkan surat yang dihantar kepada Pemangku Setiausaha Tentera Laut, Hung Cao, dan ditandatangani 22 anggota Kongres.
Surat itu menyatakan pengerahan yang panjang sudah menjadi corak dalam pengendalian pentadbiran terhadap perang dengan Iran.
Perang yang bermula pada 28 Februari lalu masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.
Ryan berkata, USS Gerald Ford turut mencatat rekod bagi tempoh pengerahan paling lama sebagai sebahagian daripada operasi perang terhadap Iran dan turut menjadi subjek laporan membimbangkan mengenai tekanan terhadap kesihatan anak kapal. Kapal berkenaan kembali ke AS pada April lalu.
“Keadaan yang dilaporkan berlaku di atas Lincoln, tidak lama selepas laporan mengenai keadaan di Ford, menyebabkan Kongres dan orang awam bimbang Jabatan Pertahanan tidak menyesuaikan diri terhadap keadaan itu dengan cukup pantas,” tulis Ryan dalam surat bertarikh 14 Ogos.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Markas Pusat AS (CENTCOM) yang menyelia operasi ketenteraan di Asia Barat, mengambil langkah sewajarnya bagi menangani cabaran berterusan yang dihadapi armada tersebut.
Delegasi anggota Kongres dari California, termasuk Senator Adam Schiff dan Alex Padilla, turut menghantar surat kepada Pentagon bagi menggesa siasatan dijalankan.
Dalam perkembangan berasingan, sekumpulan senator Parti Demokrat turut menghantar surat lain bertarikh 15 Ogos kepada Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth bagi menuntut penjelasan serta menggesa akauntabiliti terhadap isu itu.- AGENSI
The post Kongres AS bimbang nasib kru USS Abraham Lincoln appeared first on Utusan Malaysia.
