Kongres wanita PKR: Wan Azizah seru wanita PKR bersatu hadapi PRU15

Politics
15 Jul 2022 • 2:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Seluruh ahli PKR khususnya sayap wanita parti itu diingatkan agar tidak bersikap eksklusif atau mengamalkan budaya berpuak dan mengumpul pengikut, kata Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga bekas presiden parti itu turut menyeru anggota parti agar ingat kepada adab sebagai kawan dan lawan, akhlak dan kesopanan, nilai integriti dan maruah.

“Ahli parti perlu bersikap istiqamah yang konsisten dalam perjuangan digandingkan niat mencari titik-titik persefahaman, serta jangan bersikap tidak bersedia bekerjasama dengan pihak di luar kelompok sendiri.

“Dalam pertandingan akan ada yang menang dan kalah. Pemilihan sudah berakhir, inilah masanya untuk kita kembali merangkul kekuatan dan terus konsisten dengan perjuangan asal kita,” katanya ketika merasmikan Kongres Wanita PKR sempena Kongres Nasional ke-16 PKR di sini hari ini

Katanya proses pemilihan parti tidak mencalarkan nama PKR dan menguji persaudaraan ketika bertembung semasa berkempen dan membuat pilihan memilih pemimpin parti, dalam menyemarakkan ‘pesta’ demokrasi.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan itu turut mengingatkan ahli parti mengenai sikap ‘musuh dalam selimut’ serta ‘api dalam sekam’ yang boleh menghancurkan parti yang dibina selama dua dekad itu, malah lebih rela melihat kelompok berkenaan meninggalkan parti.

“Saya menganggap saudara dan saudari yang masih kekal dan setia dengan prinsip serta asas parti ini adalah orang yang memiliki kebesaran jiwa yang luar biasa serta golongan terpilih yang masih istiqamah menjunjung roh reformasi dan karamah insaniah,“ katanya.

Sementara itu dalam ucapan dasar, Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh berkata untuk pemberdayaan wanita pengenalpastian masalah perlu dibuat dari sudut akar masalah ekonomi, pendidikan, akses kesihatan, peluang pekerjaan, hak dalam undang-undang dan tanggungjawab berorganisasi.

“Wanita yang berdaya diberi dan mampu membuat keputusan yang terbaik buat kehidupan mereka. Mereka bukanlah dikongkong untuk hanya menerima keputusan ke atas diri mereka yang dibuat oleh orang lain,” katanya.

Beliau turut menggariskan lapan matlamat pemberdayaan wanita, iaitu keseimbangan pekerjaan-kehidupan; mengupaya wanita teraniaya dan mengupaya wanita selaku Ketua Isi Rumah (KIR), pendidikan; proses membuat keputusan; kesihatan; pewaris perjuangan dan peranan dalam adaptasi perubahan iklim.

Fuziah juga berharap pimpinan wanita PKR yang baharu terus menterjemahkan usaha mengetengahkan suara wanita dalam parti serta politik termasuk menampilkan 20 calon Ahli Parlimen wanita dari PKR untuk pilihan raya umum. — Bernama