Konon pos alat tulis, sebenarnya dadah bernilai RM2.6 juta

LocalPolitics
27 Dec 2024 • 4:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Norlela (tengah) bersama pegawai JKDM dan MAHB menunjukkan dadah jenis Methamphetamine yang dirampas di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 17 Disember lalu. Foto: HISYAMUDDIN AYUB

image is not available
Norlela (kiri) mendengar penerangan daripada pegawai JKDM dan MAHB berhubung rampasan dadah jenis Methamphetamine bernilai RM2.6 juta. Foto: HISYAMUDDIN AYUB

SEPANG - Ikrar kononnya barangan alat tulis tetapi sebenarnya empat kotak yang mengandungi 80 bungkusan lut sinar di dalamnya adalah dadah jenis Methamphetamine.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Norlela Ismail berkata, kesemua dadah seberat 81.3 kilogram itu cuba dihantar ke Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan parcel yang mencurigakan tersebut melalui mesin pengimbas di sebuah 'cargo terminal operator' di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Disember lalu, jam 10.15 pagi.

**media[2943383]**

"Kejayaan ini merupakan usaha yang dilaksanakan secara kolaborasi strategik antara Bahagian Penguatkuasaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi membanteras sindiket penyeludupan melalui mod udara.

"Dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM2.6 juta dan boleh digunakan oleh 406,700 penagih," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat di Kompleks Kastam Kargo Unit III Zon Tengah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL).

Norlela berkata, hasil siasatan dilakukan, empat kotak berisi dadah tersebut dipos di sebuah hab penghantaran parcel di Shah Alam, Selangor pada 13 Disember lalu.

Penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dilakukan di premis itu, kata beliau, bungkusan itu dipos oleh seorang lelaki warga tempatan.

Namun begitu katanya, suspek masih belum dapat diberkas dan usaha memburu serta siasatan lanjut masih dilakukan.

"Alamat pengirim yang diletakkan pada bungkusan itu adalah atas nama sebuah syarikat di Puchong, Selangor.

"Namun hasil semakan dilakukan dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), syarikat itu tidak wujud," ujarnya.

Tambahnya, kereta yang digunakan oleh suspek adalah jenis Toyota Camry dan ia kereta sewa.