Amerika Syarikat ingin menaik taraf pesawat tempur mereka bagi menghadapi keperluan peperangan masa hadapan. F-22 dan F-35 yang digunakan sekarang ialah pesawat tempur paling mercu digunakan Amerika tetapi rekaannya sudah berusia tiga dekad dan dalam tempoh tersebut keperluan misi jauh berubah. Tentera Udara Amerika (USAF) akan menerima pesawat F-47 dan kini tiba giliran Tentera Laut Amerika (NAVY) pula menerima F/A-XX.
Program F/A-XX sebenarnya sedikit samar selepas pentadbiran Trump ingin memotong perbelanjaaan ketenteraan. Tetapi NAVY amat memerlukan pesawat baharu yang direka khusus untuk keperluan mereka dan dilancarkan daripada pesawat induk. Minggu lalu Northrop Grumman berkongsi gambar pesawat konsep yang ingin dibina mereka untuk program F/A-XX dengan laman The Warzone.

Rekaannya aneh kerana dua lubang penyedut udara untuk enjin terletak di bahagian atas. Tiada pesawat tempur yang digunakan NAVY selama ini mempunyai konfigurasi seperti ini. Ia seakan mengambil inspirasi daripada dron mengisi minyak Boeing MQ-25A yang beroperasi daripada geladak kapal induk.
Hanya separuh rekaan pesawat dikongsi setakat ini tetapi daripada apa yang dapat dilihat, F/A-XX akan membawa senjata di dalam tubuh bagi menyukarkan ia dikesan radar. Kokpit pula hanya menempatkan satu juruterbang tanpa kedudukan untuk WEPS.
Bagi penggemar pembangunan senjata, rekabentuk hidung serta kokpit pesawat ini mempunyai persamaan dengan YF-23 Black Widow II buatan Northrop yang kalah kepada Lockheed Martin YF-23 untuk projek ATF tiga puluh empat tahun lalu.
