Konsep infak kitar semula di masjid diperkenal, galak sedekah sambil jaga alam

LocalEnvironment
2 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Konsep infak kitar semula di masjid diperkenal, galak sedekah sambil jaga alam

KAJANG, 2 OGOS: Konsep infak kitar semula di masjid diperkenalkan buat pertama kali bagi menggalakkan orang ramai menyumbang barangan kitar semula, dengan hasil jualannya disalurkan kepada masjid.

Inisiatif menerusi Program Infaq Kitar Semula anjuran bersama Graduate School of Business (GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), KDEB Waste Management (KDEBWM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Trash4Cash itu turut bertujuan memupuk budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Ketua Projek Vibe Hijau merangkap wakil UKM GSB, Siti Amalina Ahmad Shukri berkata, idea itu tercetus selepas pihaknya mendapati kebanyakan program kitar semula diadakan di pusat beli-belah dan kawasan perumahan, namun jarang dilaksanakan di masjid.

Image from: Konsep infak kitar semula di masjid diperkenal, galak sedekah sambil jaga alam
Ketua Projek Vibe Hijau Siti Amalina Ahmad Shukri ketika Program Infaq kitar semula anjuran bersama KDEB Waste Management, MPKJ, Trash4cash dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Masjid Teras Jernang Bandar Baru Bangi pada 1 Oktober 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Biasanya peserta menerima insentif hasil jualan barangan kitar semula, tetapi kali ini hasil itu disalurkan kepada pihak masjid sebagai infak.

"Kita juga mahu menggalakkan lebih ramai masyarakat hadir ke masjid. Dalam masa sama, mereka dapat menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar dan bersedekah melalui barangan kitar semula," katanya kepada Media Selangor pada program berkenaan di Masjid Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, semalam.

Beliau berkata, program yang berlangsung selama dua hari itu berjaya mengumpulkan lebih 450 kilogram barangan kitar semula membabitkan sisa elektronik (e-waste), minyak masak terpakai, kotak dan botol.

Menurutnya, inisiatif berkenaan turut menyokong usaha meningkatkan kadar kitar semula negara serta menggalakkan amalan pengasingan sisa di peringkat komuniti.

"Jika program ini memberi impak positif, kita bercadang memperluaskannya ke lebih banyak masjid supaya lebih ramai masyarakat dapat menyertai usaha ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPKj Zon 17, Farhan Haziq Mohamed berkata, penggunaan masjid sebagai pusat pengumpulan barangan kitar semula merupakan pendekatan yang mampu menggalakkan amalan bersedekah di samping mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.

Beliau berharap program itu dapat diperluaskan ke lebih banyak masjid dan komuniti secara berkala bagi membudayakan amalan mengasingkan sisa serta meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kitar semula.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved