
Inspirasi Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak
Konsep Unik ‘Baruk’ Bidayuh, Masjid Darul Makmur Nama Rasmi Masjid Di Serian. Masjid utama di Bahagian Serian kini tampil berwajah baharu setelah selesai proses naik taraf dan diberi nama rasmi Masjid Darul Makmur, membawa maksud “tempat yang sejahtera”. Nama baharu itu diumumkan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran 1446H/2025M.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi. Majlis berkenaan diserikan lagi dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyempurnakan sambutan pada malam itu.

Masjid Serian Kini Beri Khidmat Serba Lengkap
Untuk rekod, projek naik taraf masjid ini bermula pada tahun 2018 dengan kos berjumlah RM9 juta dan telah dibuka kepada umum pada Januari 2025. Dengan kapasiti 1,500 jemaah pada satu-satu masa, Masjid Darul Makmur juga menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bilik akad nikah, bilik seminar, dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah, TASKA dan pejabat.
Menurut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, konsep unik ‘baruk’ atau rumah khas etnik Bidayuh dikekalkan sebagai simbolik kepada masyarakat Bidayuh yang ramai di kawasan tersebut. Beliau turut menegaskan bahawa rekabentuk ini merupakan inspirasi daripada Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, untuk menaikkan imej Bahagian Serian.
Baca juga cerita semasa di bawah:

