Konsert  ‘iKON World Tour Take Off 2023’ Janji Persembahan Terbaik.

27 Jun 2023 • 2:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Konsert iKON World Tour Take Off 2023 akan diadakan di i Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC), bulan depan. - Gambar PR

Malaysia terus menjadi destinasi pilihan buat penghibur antarabangsa untuk menjadi persinggahan di rantau Asia untuk konsert mahupun siri jelajah mereka.

Terbaharu konsert iKON World Tour Take Off 2023 yang akan diadakan bulan depan turut memilih Malaysia sebagai destinasi persinggahan.

Penganjur bersama, Jojo Events dan My Events International menjanjikan persembahan ‘magikal’ kepada peminat muzik Korea, iKON yang terdiri daripada Jay, Song, Bobby, DK, Ju_Ne dan Chan pada 22 Julai ini.

Menurut pengasas Jojo Events, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir, pihaknya teruja apabila iKON mahu bertemu peminat di Malaysia.

“Persembahan yang bakal mereka beri kepada kita khasnya kepada peminat fanatik mereka bukanlah yang biasa-biasa sahaja. Nantikannya,” katanya pada Getaran.

Syed Mohd Yusof berkata demikian pada sidang media di Hard Rock, baru-baru ini sambil menambah konsert tersebut akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC).

image is not available

Syed Mohd Yusof yakin konsert itu tidak hanya memberikan hiburan tetapi juga memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara.

Menurutnya, konsert dan hiburan langsung mempunyai kuasa untuk menghasilkan pendapatan yang besar bagi negara dan merangsang pertumbuhan ekonomi secara besar-besaran.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan My Events International, Hema Kandy berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk mengadakan konsert di MIECC berikutan lokasi lain sudah ditempah.

“Setakat ini memang ada cadangan untuk ubah ke lokasi seperti Axiata di Bukit Jalil atau Stadium Melawati tapi apakan daya, semua tempat-tempat sudah ditempah lebih awal untuk acara dan konsert.

“Bagaimanapun, apa yang kami janji adalah persembahan berkualiti tinggi selama lebih kurang dua jam dengan menyajikan yang terbaik dalam hiburan yang pernah dilihat oleh para peminat iKON,” ujarnya. 

Kali terakhir iKON berada di Malaysia pada 2018 dan kini kembali ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan album Take Off yang merupakan sebahagian daripada World Tour sejak berpisah dari label asal YG Entertainment.

Tiket boleh didapati pada harga RM388, RM538, RM688, RM838, RM1,038 dan RM1,088. hanya di www.ticket2u.com.my. - Getaran, 27 Jun 2023.