Konsert Pertama GV9 - Akhirnya Tok Ram Dapat Apa Yang Dimahukan Selama Ini

Music
19 Sep 2022 • 2:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jaclyn Victor, Tomok dan Shila Amzah - Gambar ihsan Astro

Malam tadi telah berlangsung konsert pertama Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang menyaksikan persaingan sengit 13 peserta dari Malaysia dan Singapura untuk konsert minggu pertama. 

Kali ini konsert GV kembali bersiaran di Dewan MBSA Shah Alam selepas dua tahun ia diadakan di PICC Putrajaya. 

Selepas lapan tahun dikendalikan pasangan pengacara yang sama, tahun ini GV9 menampilkan Elly Mazlein sebagai pengacara baru bergandingan dengan Nabil Ahmad. 

image is not available
Nabil Ahmad dan Elly Mazlein

Seperti yang diramal, peserta seperti Jaclyn Victor, Shila Amzah, Tomok, Dina Nadzir dan Bob Yusof nyata menunjukkan kekuatan vokal masing-masing sehingga melayakkan mereka menempah tempat di kedudukan lima teratas.

Jac, Shila dan Tomok masing-masing membawakan dua buah lagu popular mereka yang digabungkan. 

image is not available
Bob Yusof dan Dina Nadzir

Roy Kapilla pula membuat kejutan apabila berjaya menduduki tangga ke enam selepas membuat persembahan dengan membawakan lagu 'Dikir Rambong'. 

image is not available
Roy Kapilla

Peserta dari Singapura iaitu Hazrul Nizam yang membawakan lagu 'Kaulah Segalanya' menjadi peserta yang mengumpul markah tercorot. Namun, dia masih terselamat kerana tiada penyingkiran di minggu pertama seperti tahun-tahun sebelumnya. 

image is not available
Hazrul Nizam

Ketua juri, Datuk Ramli MS (Tok Ram) menyifatkan persembahan Jaclyn Victor sebagai ‘unpredictable’ sehingga melayakkannya berada di kedudukan teratas. 

“Saya tak pernah dengar versi nyanyian yang dipersembahkan tadi. Sewaktu sesi raptai pun dia tak menyanyi macam ni. Jac adalah seorang penyanyi yang intelektual. Dia berjaya mengawal muzik dan lagunya sendiri ‘on the spot’. 

“Apabila saya dengar dia menyanyi seperti itu, saya rasa tahun kesembilan ini saya dapat apa yang saya mahukan selama ini iaitu nyanyian yang penuh intelektual,” katanya. 

image is not available
Ramli MS

Selain itu Tok Ram turut memuji Shila Amzah dan Dina Nadzir yang disifatkan beliau sebagai jujur dalam nyanyian. 

“Nyanyian Shila jauh lebih baik dari dulu. Kini dia sudah faham apa itu intelektual. Saya ‘prefer’ diri dia yang sekarang. Umurnya juga masih muda. Malah, dia juga merupakan seorang komposer. Dia punya masa depan yang cerah,” ujarnya. 

Namun kata Tok Ram, peperangan yang sebenar hanya akan bermula pada minggu kedua apabila setiap peserta akan menyanyikan lagu dari penyanyi lain. 

Pada malam konsert pertama itu kemua peserta diadili tiga juri tetap iaitu Tok Ram, Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan seorang juri jemputan iaitu Rahimah Rahim. 

image is not available
Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Rahimah Rahim

Berikut adalah markah serta kedudukan setiap peserta untuk konsert pertama GV9.

Jaclyn Victor (88.40), Shila Amzah (85.00), Tomok (84.10), Dina Nadzir (83.80), Bob Yusof (83.60), Roy Kapilla (70.60), Pat Candy (68.40), VE (67.10), Haida Hasnan (65.70), Fuad Rahman (63.70), Tom (61.50), Asheed Def Gab C (61.20), Hazrul Nizam (56.20). - Getaran, 19 September 2022