Kuala Lumpur bakal diselubungi nuansa retro yang memikat apabila konsert ‘Senandung Ria Di Kuala Lumpur’ bakal berlangsung pada 10 Mei nanti di Zepp Kuala Lumpur.
Menghimpunkan dua nama tersohor dari Indonesia, White Shoes & The Couples Company dan NonaRia, acara anjuran ZS Entertainment bersama LampuNeon Entertainment ini menjanjikan pengalaman muzikal yang lebih daripada sekadar persembahan pentas biasa.

Mengangkat tema nostalgia, keceriaan dan romantika bandar, konsert ini dibina sebagai sebuah pengalaman sinematik yang mengajak penonton mengembara ke suasana klasik penuh emosi dan warna.
“Tema utama konsert ini adalah nostalgia, keceriaan dan romantika bandar, yang mengangkat keindahan muzik retro, jazz-pop ringan dan elemen sinematik. Kami mahu penonton merasai pengalaman yang membawa mereka kembali ke suasana klasik yang penuh emosi dan warna,” jelas pihak penganjur.
Selain hiburan, konsert ini mengajak penonton memperlahankan tempo kehidupan moden, menghargai momen kecil dan menikmati kehangatan muzik yang dekat dengan hati.
“Kami mahu penonton merasai keindahan setiap melodi dan lirik, dan sejenak melupakan kesibukan harian dan hanyut dalam perjalanan emosi bersama muzik,” ujar penganjur lagi.
Pendek kata, ‘Senandung Ria Di Kuala Lumpur’ seakan mengundang khalayak untuk memperlahankan langkah, menikmati setiap melodi dan lirik, serta menghargai momen-momen kecil yang sering terlepas pandang.

Gabungan White Shoes & The Couples Company dan NonaRia bukanlah sesuatu yang lazim dipertemukan di satu pentas. Kedua-duanya berkongsi DNA muzik yang berakar pada bunyi retro, pop klasik dan naratif romantik, namun masing-masing memiliki identiti tersendiri.
White Shoes & The Couples Company dikenali dengan susunan muzik sinematik yang sofistikated dan lirik puitis, manakala NonaRia memikat menerusi gaya ceria, feminin dan bersahaja yang diinspirasikan era 1940-an hingga 1960-an.
Menariknya, konsert ini turut menampilkan produksi khas yang dirancang eksklusif untuk Kuala Lumpur. Antara elemen yang dijanjikan termasuk susunan muzik istimewa, visual berkonsepkan retro-sinematik serta aliran persembahan yang dirangka seperti sebuah penceritaan.
Tidak mustahil juga akan tercipta momen kolaborasi spontan di atas pentas, sesuatu yang pastinya dinanti-nantikan peminat.
Pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan konsep ini. Dengan keseimbangan antara skala besar dan suasana intim, ruang ini menawarkan pengalaman audio-visual yang menyeluruh, membolehkan setiap detik persembahan dirasai dengan dekat dari setiap sudut dewan.

Tiket ditawarkan pada harga RM200, RM290 dan RM450.Maklumat lanjut mengenai saluran penjualan akan diumumkan tidak lama lagi.
Bagi pencinta muzik berestetika klasik dan jazz-pop ringan, ‘Senandung Ria Di Kuala Lumpur’ bukanlah sekadar konsert, ia adalah sebuah perjalanan emosi yang merayakan keindahan bunyi, cerita dan kenangan dalam satu malam yang dijangka sukar dilupakan. - Getaran, 26 Februari 2026


