Kontena diisytihar bawa bijih timah rupanya dipenuhi e-waste

LocalEnvironment
7 Jul 2026 • 3:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kontena diisytihar bawa bijih timah rupanya dipenuhi e-waste
Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran sebuah kontena mengandungi e-waste di sini pada Isnin.
Image from: Kontena diisytihar bawa bijih timah rupanya dipenuhi e-waste
E-waste yang dijumpai selepas insiden kebakaran.

PELABUHAN KLANG – Sebuah kontena yang diisytiharkan membawa bijih timah didapati mengandungi sisa elektrik dan elektronik (e-waste) selepas terbabit dalam kebakaran pada Isnin.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.05 pagi ketika kontena berkenaan berada di atas sebuah lori treler selepas tiba di pelabuhan itu.

"Kontena terbabit tiba dari luar negara dengan muatan seberat 17,237 kilogram. Semakan terhadap dokumen Bill of Lading mendapati kandungan kontena diisytiharkan sebagai bijih timah.

"Bagaimanapun, pemeriksaan bersama yang dijalankan AKPS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan kejadian kebakaran mendapati kandungan sebenar kontena itu ialah 100 peratus sisa elektrik dan elektronik (e-waste)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati e-waste berkenaan merupakan barang dagangan yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 sebagaimana dipinda dan berkuat kuasa bagi pengimportan mulai 1 April lalu.

**media[3574232]**

"Pengimportan barang dagangan itu tertakluk kepada syarat serta kelulusan pihak berkuasa kompeten sebelum dibenarkan memasuki negara ini," katanya.

Menurut beliau, kes kini disiasat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang termasuk kesalahan pengisytiharan palsu, pengimportan barang dagangan terkawal tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan serta lain-lain kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

"Kerjasama semua pihak dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan import amat penting bagi melindungi keselamatan awam, alam sekitar dan kepentingan negara," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved