Kontinjen barisan hadapan Covid-19 terima sorakan gemuruh

31 Aug 2022 • 10:14 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kontinjen 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) dianggotai 27 pegawai dan anggota diketuai Asisten Superintendan Firdaus Murasit mengambil bahagian dalam acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada Rabu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Keterujaan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum menyaksikan kontinjen barisan hadapan Covid-19 ketika melakukan lintas hormat di hadapan pentas orang kenamaan di Dataran Merdeka terserlah apabila mereka memberi sorakan gemuruh kepada kontinjen itu.

Kontinjen terdiri daripada 84 anggota melibatkan Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba Dan Penyelamat.

Kontinjen yang membawa kebanggaan kepada ‘frontliners’ itu buat julung kalinya diberi penghargaan mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kebangsaan 2022.

Ketua Kontinjen barisan hadapan Khairil Hilmi Mokhtar berkata kontinjen yang diterajui Majlis Keselamatan Negara tersebut menghimpunkan petugas daripada pelbagai agensi yang bertanggungjawab menangani krisis Covid-19 sejak dua tahun lepas.

"Walaupun kontingen ini kecil sahaja, tetapi ia mewakili kelompok besar yang berjasa kepada negara. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana ini kali pertama dalam sejarah 65 tahun ini, kami ada satu kontinjen gabungan menggambarkan Keluarga Malaysia,” katanya kepada Bernama.

"Kami berterima kasih sebab sepanjang perjalanan tadi orang ramai, pengunjung bersorak, tepuk tangan. Kami dapat rasa bahawa kerajaan, Keluarga Malaysia menghargai, rakyat pun menghargai. Perasaan itu orang kata, tiada tolok bandingnya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa teruja kerana sambutan Hari Kebangsaan ini diraikan dalam suasana seperti sebelum pandemik Covid-19 susulan negara berada dalam fasa pemulihan pandemik.

"Mungkin (penyertaan kami) dalam perbarisan kali ini, sekali sahaja. Mungkin tahun depan tiada lagi dah. Perbarisan ini menggambarkan seluruh jentera kerajaan, sebab itu ia istimewa,” kata Khairil. - Bernama