Kontinjen Kawad UPSI Raih Naib Johan Peringkat Negeri Perak

2 Sep 2025 • 8:30 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Kontinjen Kawad UPSI Raih Naib Johan Peringkat Negeri Perak
Kontinjen kawad UPSI bergambar kenangan sempena Pertandingan Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak. Photo credit: Hasniza

Ipoh, 31 Ogos – Kontinjen kawad Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berjaya melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Pertandingan Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2025 kategori Institusi Pendidikan yang berlangsung di Ipoh, hari ini.

Pertandingan tahunan itu menyaksikan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, sekolah serta agensi kerajaan, sekali gus menjadikan saingan amat sengit.

Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata kejayaan itu membuktikan keupayaan warga universiti bukan sahaja dalam bidang pentadbiran dan akademik, malah turut menyerlah dalam aktiviti berpasukan yang menuntut disiplin tinggi.

“UPSI amat berbangga dengan pencapaian kontinjen kawad yang terdiri daripada 55 orang kakitangan universiti pelbagai jabatan dan pusat tanggungjawab kerana ia mencerminkan semangat setiakawan, komitmen dan disiplin tinggi warga universiti.

“Kejayaan ini selaras dengan hasrat UPSI untuk melahirkan ekosistem kerja yang dinamik, berdaya saing dan seimbang.

“Penyertaan kakitangan dalam aktiviti seperti ini turut membuktikan bahawa budaya kerja di UPSI bukan sahaja menekankan prestasi akademik dan pentadbiran, tetapi juga keseimbangan dari aspek jasmani, rohani dan sosial.

“Ia sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan daripada pelbagai jabatan dan pusat tanggungjawab.

“Saya yakin pengalaman yang ditimba melalui penyertaan pertandingan ini dapat meningkatkan nilai kepimpinan, daya tahan serta semangat kerjasama dalam kalangan warga UPSI.

“Inilah roh sebenar sebuah universiti pendidikan yang sentiasa menjunjung budaya cemerlang,” tambah beliau.

Beliau menegaskan bahawa pihak universiti akan terus memberikan sokongan kepada kakitangan yang aktif dalam kegiatan sahsiah dan kebersamaan, kerana ia menyumbang kepada kesejahteraan organisasi serta meningkatkan imej UPSI di peringkat negeri dan kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Kontinjen UPSI, Norazizi Jaafar berkata pencapaian sebagai naib johan itu adalah hasil kesungguhan semua anggota yang menjalani latihan intensif sejak sebulan lalu.

“Kami berlatih secara konsisten pada waktu bekerja, demi memastikan setiap pergerakan kawad mencapai tahap terbaik. Walaupun berdepan cabaran masa, komitmen rakan-rakan kakitangan tidak pernah luntur,” katanya.

Norazizi berkata kejayaan itu menjadi pemangkin semangat kontinjen untuk terus meningkatkan prestasi dan berazam meraih gelaran juara pada edisi akan datang.

Kejayaan tersebut menyaksikan UPSI berjaya membawa pulang wang sebanyak RM 4,000.00, trofi berserta sijil penyertaan.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.