Kontinjen Polis Melaka gerakkan 30% anggota, pegawai bantu lancarkan PRN

17 Jul 2023 • 4:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Sebanyak 30 peratus daripada kira-kira 3,000 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka akan digerakkan bagi membantu kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri terlibat, bulan depan.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata anggota dan pegawai berkenaan akan dihantar ke negeri berhampiran yang terlibat dengan PRN seperti Negeri Sembilan dan gerak atur mereka akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kontinjen Melaka telah diminta untuk menyalurkan 30 peratus daripada sumber manusia kita iaitu kira-kira 900 anggota dan pegawai terdiri daripada warga kerja tidak mempunyai masalah kesihatan.

“Daripada segi persediaan, kita telah siap siaga dan hanya menunggu arahan untuk atur gerak semua yang terlibat,“ katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Melaka Baharu di sini hari ini.

Majlis serah terima tugas berkenaan melibatkan pemangku Timbalan Ketua Polis (TKP) Melaka yang juga Ketua Cawangan Khas negeri ACP Mohamed Mahat kepada SAC Md Nazri Zawawi.

Zainol berkata penempatan sementara anggota berkenaan ke luar Melaka tidak menjejaskan sumber manusia sedia ada untuk membantu persediaan kerajaan negeri menjelang Tahun Melaka Melaka 2024 (TMM 2024).

Beliau berkata keperluan anggota bagi membantu pelbagai program yang telah dirangka sebagai promosi TMM 2024 akan diatur sebaiknya agar ia berjalan lancar tanpa menjejaskan tugasan hakiki polis dalam menjaga keselamatan dan keamanan negeri. -Bernama