Kontrak perkongsian pengeluaran Kluster Mutiara diramal kukuhkan pertumbuhan jangka panjang Dialog - CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
16 Jun 2025 • 11:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak perkongsian pengeluaran Kluster Mutiara diramal kukuhkan pertumbuhan jangka panjang Dialog - CIMB Securities

image is not available

16/06/2025 - 11:33

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - Kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) baharu yang dianugerahkan kepada Dialog Group Bhd bagi Aset Medan Kecil (SFA) Kluster Mutiara daripada Petronas diramal mengukuhkan portfolio huluan kumpulan dan menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjangnya.

CIMB Securities berkata ketika ini, Dialog mengendalikan tiga aset pengeluaran iaitu kontrak perkhidmatan medan minyak Bayan, PSC D35/D21/J4, dan konsesi L53/48 di Thailand.

Katanya, ia juga sedang meneruskan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Aset Medan Kecil Kluster Baram Junior (BJC SFA PSC), susulan kelulusan keputusan pelaburan akhir oleh Petronas pada Januari, dengan pengeluaran pertama dijadualkan bermula pada 1 Januari 2027.

“Selain itu, kumpulan kini berada dalam fasa prapembangunan untuk SFA Kluster Raja yang dianugerahkan pada Disember 2024.

"Jika kluster Raja dan Mutiara terbukti berdaya maju secara komersial, portfolio huluan Dialog berpotensi berkembang kepada enam aset, sekali gus menyediakan pendapatan yang stabil untuk dekad akan datang,” katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyeldikan itu berkata, segmen huluan Dialog kini menyumbang kira-kira 35% daripada keuntungan bersih kumpulan.

Walaupun butiran terperinci masih terhad, CIMB Securities menganggarkan perbelanjaan modal (capex) bagi aset Mutiara berada dalam julat antara AS$10 hingga AS$20 bagi setiap tong setara minyak (boe), bergantung kepada saiz rizab dan kedalaman air.

Anggaran itu secara umumnya selaras dengan pembangunan medan lain di Malaysia.

“Dengan jumlah capex sebanyak AS$235 juta, ini diterjemahkan kepada kira-kira AS$9.46 bagi setiap boe, iaitu dalam julat kos yang dijangkakan untuk aset yang seumpamanya,” katanya.

Walaupun perjanjian itu tidak akan menyumbang kepada pendapatan serta-merta, CIMB Securities melihat pembangunan ini sebagai langkah strategik yang positif untuk mengukuhkan lagi kedudukan Dialog dalam segmen huluan.

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.50 sesaham,” katanya.- DagangNews.com

standard