Kontraktor bebas tiga tuduhan edar dadah

14 Jun 2023 • 1:55 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melepas dan membebaskan seorang kontraktor perabot dan renovasi daripada tiga pertuduhan mengedar dadah, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membebaskan Wong Shee Kay (gambar), 53, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas dadah yang ditemukan dalam bonet kereta nombor pendaftaran JQJ3692, selain fakta tertuduh dikatakan mempunyai kunci kereta belum mencukupi bagi mengaitkan pemilikan dadah dengan tertuduh tanpa keterangan lain.

“Pendakwaan gagal memanggil pemilik kereta bagi menutup kelompangan yang ada berkaitan akses kepada kereta tersebut,” katanya.

Beliau berkata memandangkan pemilikan dadah gagal dibuktikan, anggapan pengedaran dadah di bawah Seksyen 37 (da) Akta Dadah Berbahaya 1952 gagal diaktifkan dan oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan Wong didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 84.44 gram, methamphetamine 1,707.77 gram dan monoacetylmorphines 116.1 gram di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai di Jalan Permatang 8, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, di sini pada 6.30 petang, 31 Okt 2018.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Enam saksi pendakwaan telah dipanggil semasa perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying. -Bernama