Kontraktor Dan Anak Saudara Didakwa Bunuh Sabari Baharom

LocalPolitics
17 Oct 2024 • 1:09 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang kontraktor dan anak saudaranya didakwa di Mahkamah Majistret Kubang Pasu di Jitra, atas pertuduhan membunuh pesara FELCRA, Sabari Baharom, 62, pada 4 September lalu.

Menurut laporan Buletin TV3, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd Asyraf Idris, 26, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.

image is not available

Foto: Buletin TV3

Pengakuan kes bunuh merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama-sama dengan niat telah melakukan kesalahan membunuh Sabari.

Kesalahan dilakukan di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap di daerah Kubang Pasu pada jam 5.30 pagi, 4 September lalu.

image is not available

Foto: X Malaysian Update

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Januari 2025.

Berikutan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Noridien serta Mohamad Rizal Fadzil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurul Huda kemudian menetapkan tiada jaminan dibenarkan ke atas kedua-dua tertuduh dan sebutan semula kes pada 5 Januari tahun depan.

image is not available

Foto: mDaily

Untuk rekod, jasad Sabari masih belum ditemui walaupun operasi pencarian besar-besaran telah dilakukan selama tiga hari dari 30 September hingga 2 Oktober lepas.

Sumber: Buletin TV3 (Selwam Arjunan)