johardy29/09/2026 - 18:00 Gambar ihsan SayangSabah Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KOTA KINABALU 29 Sept - Kontraktor tempatan di Sabah digesa supaya tidak lagi bergantung semata-mata kepada kontrak kerajaan, sebaliknya turut mencari projek swasta atau peluang pelaburan bagi meluaskan rangkaian dan pengalaman mereka.
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata langkah itu penting ketika negeri berkenaan masih mempunyai potensi pembangunan yang besar dalam sektor logistik, infrastruktur, perumahan, utiliti dan bidang ekonomi lain.
Pengalaman mengendalikan pelbagai projek juga dapat membantu kontraktor membina rekod prestasi.
Namun, Masidi menegaskan mereka perlu mempunyai kemampuan kewangan, tenaga kerja serta pengetahuan teknikal dan pelaksanaan sebelum menerima sesuatu projek.
Menurut beliau, Sabah memerlukan kontraktor tempatan yang berkualiti dan boleh dipercayai, yang mampu menunaikan apa yang dijanjikan serta memastikan setiap ringgit yang dibayar kepada mereka berbaloi.
“Apabila projek disiapkan mengikut jadual, spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan, keyakinan serta kepuasan pelanggan akan meningkat,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Sabah di Penampang, hari ini.
Beliau berkata pencapaian sedemikian dapat mengukuhkan rekod prestasi kontraktor tempatan dan membantu perkembangan sektor pembangunan negeri.
Turut hadir Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz; Penasihat PKMM, Datuk Dr Mohd Yaakub; Yang Dipertua PKMM Sabah, Mohd Nasruddin Mohd Yaakub.
Rakyat mahu projek yang berfungsi
Masidi berkata jumlah peruntukan yang disalurkan kepada sesuatu projek tidak semestinya menjamin hasil yang setimpal dengan harapan rakyat.
“Apa yang penting bagi rakyat ialah hasilnya — jalan yang boleh digunakan, bekalan air yang sampai ke rumah dan kemudahan awam yang berfungsi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kontraktor supaya memohon dan menerima kerja yang mampu mereka laksanakan dengan baik.
Masalah yang timbul ketika projek berjalan boleh menjejaskan jadual dan hasil kerja, termasuk dari segi keselamatan, kawalan kos, pembaziran dan alam sekitar.
Beliau turut menggalakkan kontraktor meningkatkan kemahiran dan mengikuti perkembangan teknologi, selain menggesa pemain industri yang muda dan berpengalaman bekerjasama serta berkongsi pengetahuan. - DagangNews.com






