Operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang bertukar kecoh selepas seorang individu didakwa menghalang tugas anggota penguat kuasa.
Menurut kenyataan MBDK, kejadian berlaku di Jalan Sama Gagah 20 apabila individu terbabit didakwa cuba memotong tali loop yang digunakan untuk menangkap seekor anjing, selain mengugut mencederakan dirinya sekiranya haiwan itu tidak dilepaskan.
Advertisement
“Tindakan itu mencetuskan kekecohan dan berlaku insiden tarik-menarik yang menyukarkan anggota MBDK melonggarkan serta melepaskan peralatan berkenaan demi keselamatan haiwan. Bagaimanapun, anjing terbabit disahkan mati ketika insiden itu berlaku.
“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang serta menghindari kecederaan kepada mana-mana pihak, anggota MBDK melepaskan peralatan yang digunakan sebelum polis tiba di lokasi untuk mengawal keadaan.”
Operasi Dibuat Susulan Aduan Penduduk
MBDK memaklumkan operasi menangkap anjing liar itu dijalankan dari jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam susulan aduan rasmi penduduk mengenai gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar.
Operasi tersebut melibatkan 11 kakitangan dan seorang pegawai Jabatan Kesihatan MBDK dengan kerjasama kira-kira 50 penduduk setempat.
“Operasi dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil 17(1), Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MBDK 2007, dengan sokongan Jawatankuasa Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pembangunan Mampan (JKKPM) serta dimaklumkan kepada Ahli Majlis kawasan.
View this post on Instagram
“Sepanjang operasi itu, sebanyak 12 ekor anjing liar berjaya ditangkap dan semuanya dilakukan menggunakan peralatan ‘loop’ yang mematuhi piawaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan proses penguatkuasaan dilaksanakan secara selamat serta mengutamakan kebajikan haiwan.”
MBDK Buat Laporan Polis
Susulan insiden tersebut, MBDK membuat laporan polis berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta ancaman menggunakan senjata tajam.
MBDK turut menegaskan pihaknya akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara profesional dan mematuhi piawaian kebajikan haiwan.
“MBDK turut menzahirkan kekesalan terhadap kejadian itu dan menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berhemah serta mematuhi piawaian kebajikan haiwan.
“Pada masa sama, MBDK mengingatkan pemilik haiwan peliharaan supaya sentiasa bertanggungjawab dengan memastikan lesen haiwan sentiasa sah dan tidak membiarkan haiwan berkeliaran sehingga mengganggu keselamatan awam.
“Majlis turut menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi mengikut lunas undang-undang.” – HARIAN METRO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Gurauan Bandingkan Bintang BTS Dengan Wan Chai Cetus Kemarahan ARMY, inDrive Tampil Mohon Maaf
The post Kontroversi Kematian Anjing Liar ‘Rocky’, Majlis Bandaraya Diraja Klang Beri Penjelasan – “Ia Mengikut Undang-Undang” first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






