
KLANG - Adik kepada Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menerima cenderamata sebagai tanda penghargaan jasa dan sumbangan Allahyarham selama ini.
Ghazali Ayub yang mewakili keluarga Allahyarham menerima cenderamata berbentuk plak dan bingkai gambar kenangan daripada Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Bendahari Agung Amanah, Ir Izham Hashim berkata, pihaknya mengakui komitmen pemimpin dan ahli Amanah memang luar biasa sejak awal penubuhan parti lapan tahun lalu.
“Sepertimana yang kita semua lihat video mengenai Allahyarham dan pengorbanan beliau sehingga ke akhir hayat,” katanya ketika Konvensyen Amanah Nasional 2023 di salah sebuah hotel di Klang pada Sabtu.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia pada 23 Julai lalu sekitar jam 9.23 malam ketika masih dalam pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Ahli Parlimen Pulai itu dikenang sebagai pejuang rakyat lebih-lebih lagi isu kenaikan kos sara hidup dan dikenali sebagai individu yang memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah ‘Payung Rahmah’.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 61 tahun dan meninggalkan seorang balu, Datin Seri Fatimah Taha serta enam orang anak.

