'Konvensyen jadi sejarah baharu, mampu kukuh dan stabilkan negara'

Politics
14 May 2023 • 7:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anthony ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di WTC pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan disertai 19 parti politik merupakan satu sejarah baharu yang mampu mengukuhkan dan menstabilkan negara.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, dengan pengukuhan itu, Malaysia diyakini mampu kembali gemilang dan hebat di persada antarabangsa.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa hubungan yang baik antara kaum, agama dan wilayah merupakan perkara yang dititikberatkan Kerajaan Perpaduan.

“Prinsip Kerajaan Peraduan ialah keterangkuman dari segi kaum agama dan wilayah kerana parti dalam kerajaan mewakili semua kaum dan wilayah seluruh negara. Jangan lihat sebagai persaingan dalam kalangan kaum.

“Mesti ada hubungan yang baik dan ambil semangat untuk sama-sama membangun dan kuatkan Malaysia kerana persaingan pada hari ini adalah antara Malaysia dan negara luar. Bukan antara rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan juga mampu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya kerjasama itu dapat diteruskan dan diperkukuh selain setiap parti memberikan komitmen terbaik kepada kerajaan.

“Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), sudah tentu kena berusaha untuk yakinkan rakyat. Paling penting, kerjasama antara parti mesti diperkukuh dan prestasi kerajaan perlu ditambah baik. Kalau dapat dilaksanakan, maka akan diterjemahkan dalam sokongan pilihan raya,” ujarnya.

Menjawab mengenai penerimaan akar umbi, beliau menjelaskan, sekiranya pimpinan parti memberikan contoh yang baik di antara pemimpin lain, ia menyebabkan akar umbi turut melakukan perkara yang sama.

“Saya yakin akar umbi parti memahami keadaan mengapa Kerajaan Perpaduan ditubuhkan selepas PRU15. Sudah tentu keakraban dan semangat kerjasama yang ditunjukkan sejak penubuhan kerajaan akan dirasai akar umbi,” jelasnya.