
PETALING JAYA - Konvensyen Suara Anak Muda menampilkan tujuh golongan belia akan diadakan pada 15 Julai ini, bermula jam 10.30 pagi di PJ Live Arts.
Antara kumpulan belia yang terlibat ialah Orang Asli, petani muda, pekerja ekonomi gig, doktor kontrak dan pekerja kesihatan awam, atlet, urbanis serta mahasiswa.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Atyra Hanim Razali berkata, konvensyen itu merupakan satu inisiatif parti untuk mendengar dan mengangkat suara anak muda supaya kerajaan cakna tentang permasalahan golongan itu dalam menggubal dasar kerajaan.
“Perhimpunan ini akan menjadi satu platform untuk kumpulan berkenaan menyuarakan permasalahan yang dihadapi dan mengemukakan pendapat bagi mengatasi isu tersebut.
“Hasil resolusi perhimpunan berkenaan akan dipanjangkan kepada anggota pentadbiran yang terkait,” katanya sewaktu sidang media mempromosikan Konvensyen Suara Anak Muda pada Selasa.
Tambah beliau, hasil berkenaan juga merupakan sumbangan AMK bagi Kerajaan Perpaduan dalam merangka naratif ekonomi Madani.
Atyra Hamin memberitahu, konvensyen itu secara tidak langsung dapat memastikan kepentingan dan kesejahteraan golongan belia marginal dirangkumkan dalam pembuatan polisi kerajaan secara keseluruhan.
Di samping itu, beliau menjelaskan faktor lain yang mendorong perhimpunan itu diadakan adalah untuk mencapai tiga objektif resolusi umum.
“Pertamanya, kita mahu mengukuhkan kebaikan awam seperti pusat kesihatan dan pengangkutan yang sering digunakan oleh orang ramai.
“Kedua ialah negara kendiri yang mana ia merupakan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam mengeluarkan makanan sendiri dan ketiga adalah gaji bermaruah untuk anak muda,” ujarnya.
Kata Atyra Hanim, apabila suara anak muda didengari oleh kerajaan, ia akan menjadikan Malaysia sebuah pentadbiran yang berteraskan ihsan serta inklusif.



