Konvoi Kasih Big Love: MINI Malaysia & Sime Darby Property Pandu Keceriaan Untuk 120 Kanak-Kanak

LocalSales & Promo
18 Dec 2025 • 9:29 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available
Central to this initiative is ‘The Giving Post’ located within Elmina Lakeside Mall, where a festive MINI Convertible display serves as the official drop-off point for Christmas gifts.

SHAH ALAM, 17 Disember 2025 – Elmina Lakeside Mall menjadi tumpuan sempena musim perayaan apabila Sime Darby Property Berhad berganding bahu bersama MINI Malaysia melancarkan inisiatif kebajikan berteraskan komuniti yang menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan sosial. Kempen ini berlangsung sehingga 19 Disember 2025, mengajak orang ramai untuk bersama-sama merealisasikan impian perayaan 120 kanak-kanak kurang berkemampuan.

Berpaksikan komitmen Sime Darby Property dalam membina komuniti berdaya huni serta falsafah global MINI, “Big Love”, kolaborasi ini berfungsi sebagai jambatan antara masyarakat dan golongan memerlukan. Teras utama kempen ini ialah ‘The Giving Post’ di Elmina Lakeside Mall, menampilkan sebuah MINI Convertible berhias tema perayaan yang berperanan sebagai lokasi rasmi pengumpulan hadiah.

Appollo Leong, Ketua Pegawai Operasi – Pembangunan Bandar Sime Darby Property berkata, “Elmina Lakeside Mall berbesar hati menjadi penaja lokasi bagi inisiatif bermakna ini. Dengan akses mudah melalui Lebuhraya Guthrie Corridor dan rangkaian hubungan lancar ke seluruh Lembah Klang, kami berharap lebih ramai ahli komuniti dapat singgah, menyertai kempen ini dan berkongsi kegembiraan perayaan bersama mereka yang memerlukan.”

Bagi memastikan sumbangan memberi impak nyata, kempen ini menyokong Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, sebuah rumah kebajikan tempatan yang menjaga anak-anak yatim serta kanak-kanak daripada latar belakang kurang berkemampuan. Pengunjung Elmina Lakeside Mall boleh menyertai inisiatif ini dengan memilih tab bernombor pada papan The Giving Post, di mana setiap tab mewakili senarai hajat khusus seorang kanak-kanak. Pengunjung kemudiannya digalakkan membeli barangan tepat seperti yang disenaraikan dan menyerahkannya di The Giving Post bagi memastikan hadiah sampai kepada penerima yang dimaksudkan.

image is not available
The Giving Post invites visitors to select a numbered wish tab and purchase the exact item listed to fulfil the holiday wishes of children from Rumah Kasih Harmoni.

Bagi menjaga keselamatan dan kebersihan penerima, semua hadiah mestilah baharu dan belum dibuka. Pusat pengumpulan dibuka setiap hari dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Elmina Lakeside Mall.

Linnet Yew, Pengarah MINI Malaysia berkata, “Bagi kami, ‘Big Love’ dizahirkan melalui tindakan. Kerjasama ini membolehkan kami menyalurkan tenaga kolektif ke arah tujuan yang lebih bermakna. Melihat MINI Convertible ikonik kami menjadi simbol harapan di Elmina Lakeside Mall amat menginspirasikan, apatah lagi apabila konvoi MINI sendiri akan menghantar hadiah-hadiah ini secara peribadi.”

Kempen ini akan melabuhkan tirainya pada Sabtu, 20 Disember 2025 menerusi acara ‘The Big Love Drive’. Kira-kira 20 pemilik MINI akan berkumpul di Elmina Lakeside Mall sebelum bergerak dalam satu konvoi khas untuk menghantar sendiri semua sumbangan ke Rumah Kasih Harmoni, memastikan setiap kanak-kanak menerima hadiah mereka tepat pada masanya.

Menambahkan kemeriahan musim perayaan, pengunjung Elmina Lakeside Mall turut berpeluang menyertai pandu uji MINI hujung minggu dari 5 hingga 28 Disember 2025, sekali gus merasai pengalaman jenama tersebut sambil menyokong usaha kebajikan komuniti.

Kerjasamaini mencerminkan visi Sime Darby Property dalam membangunkan bandar yang bukan sahaja menawarkan gaya hidup berkualiti, malah memupuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan kebersamaan komuniti melalui kerjasama strategik bersama jenama sehaluan. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, orang ramai boleh mengunjungi Booth MINI di Elmina Lakeside Mall.

The post Konvoi Kasih Big Love: MINI Malaysia & Sime Darby Property Pandu Keceriaan Untuk 120 Kanak-Kanak appeared first on TW Media.