KUANTAN - Bermula dengan sebuah kedai runcit lama yang semakin kehilangan pelanggan, seorang lelaki kini berjaya menghidupkan semula perniagaan keluarganya menerusi penghasilan kopi santan sawit buatan sendiri di Kampung Baru Seri Teruntum di sini.
Abdul Ghani Sheikh Ismail, 45, berkata, dia mengambil alih kedai milik ibunya pada tahun 2019 selepas perniagaan yang beroperasi sejak 1980 itu semakin sukar bertahan akibat perubahan semasa.
Menurutnya, ketika mula menguruskan kedai tersebut, dia berdepan pelbagai cabaran termasuk hutang pelanggan lama yang mencecah hampir RM30,000.
“Saya tengok semula buku hutang lama, memang banyak yang masih belum dibayar. Ada pelanggan sudah meninggal dunia, berpindah dan ada juga yang masih tinggal di sini.
“Bila berbincang dengan emak, akhirnya saya ambil keputusan untuk menghalalkan semua hutang itu dan membuang buku tiga lima tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Bisnes.
Bekas instruktur kecergasan itu berkata, selepas perniagaan kedai runcit semakin perlahan, dia mula mencari idea baharu bagi memastikan perniagaan keluarga terus bertahan.
Menurutnya, dia pernah mencuba menjual aiskrim sebelum beralih kepada perniagaan kopi botol yang sememangnya menjadi minatnya sejak sekian lama.
**media[3537129]**
“Saya memang pencinta kopi. Ketika itu saya fikir kopi mempunyai potensi besar kerana peminatnya ramai dan kuasa membeli juga lebih tinggi.
“Lagipun, ketika saya mula menghasilkan kopi pada tahun 2019, belum banyak kiosk kopi seperti sekarang,” katanya.
Bercerita lanjut, Abdul Ghani berkata, idea menghasilkan kopi menggunakan santan sawit tercetus selepas menyedari ramai rakyat Malaysia tidak sesuai mengambil susu lembu.
Katanya, dia kemudian belajar sendiri teknik penyediaan kopi menerusi YouTube sebelum melakukan pelbagai eksperimen untuk mendapatkan rasa yang sesuai.
“Saya pernah cuba kopi santan biasa dari Indonesia, tetapi rasa kelapanya agak kuat dan kurang kena dengan tekak saya.
“Apabila saya jumpa santan sawit tempatan, saya cuba hasilkan sendiri dan mengambil masa hampir tiga bulan untuk menstabilkan rasa kopi tersebut,” ujarnya.
Menurut Abdul Ghani, kopi itu dihasilkan menggunakan teknik perahan sejuk dengan proses rendaman selama 48 jam sebelum ditapis secara perlahan selama lapan jam tanpa sebarang tekanan.
“Semuanya dibuat secara handmade di rumah. Sebab itu prosesnya agak lama dan pengeluaran juga terhad,” katanya.
Abdul Ghani berkata, kopi santan sawit itu kini dijual pada harga antara RM6 hingga RM7 sebotol dengan beberapa pilihan perisa seperti original, salted caramel dan gula kabung asli Pahang.
**media[3537130]**
Menurutnya, kandungan gula dalam kopi tersebut turut diminimumkan supaya lebih mesra kesihatan dan sesuai untuk pelanggan yang sensitif terhadap susu lembu.
“Hasil jualan sekarang sekitar 400 botol sebulan. Ada masanya stok yang saya sediakan untuk dua minggu habis lebih awal kerana permintaan pelanggan semakin meningkat,” katanya.
Selain kopi, Abdul Ghani turut mengusahakan warung sarapan yang menjual nasi lemak, puri dan tosai menggunakan resipi keluarga sebelah ibunya yang berlatarbelakangkan Melayu dan India Muslim.
Katanya, warung yang mula beroperasi pada tahun 2023 itu sedikit demi sedikit membantu menghidupkan kembali kedai lama keluarganya.
“Saya juga menghasilkan kombucha sebagai produk tambahan kerana saya memang minat dunia pemakanan dan kesihatan sejak dahulu,” katanya.
Jelasnya, dia turut menerima bantuan geran dan pinjaman Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) berjumlah RM15,000 daripada kerajaan negeri bagi pembelian mesin penyejuk.
Tambahnya lagi, dia kini sedang mengumpul modal untuk membina sebuah kilang mini pemprosesan kopi di kawasan belakang rumah keluarganya.
