Kor Ming Sempurnakan Istiadat Pemakaian Tanda Pangkat Ketua Pengarah JBPM Baharu

10 Jan 2024 • 10:09 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad dilantik sebagai Ketua Pengarah JBPM yang baharu berkuat kuasa 9 Januari.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan pelantikan itu adalah bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin yang bersara wajib pada 31 Disember lalu.

Istiadat Pemakaian Tanda Pangkat Ketua Pengarah JBPM

image is not available

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyempurnakan Majlis Istiadat Pemakaian Tanda Pangkat Ketua Pengarah JBPM bersama Timbalannya, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib di Putrajaya, semalam.

image is not available

“KPKT mengucapkan tahniah atas pelantikan Nor Hisham dan akan memberi kerjasama dalam membawa JBPM ke arah kecemerlangan untuk memberikan perkhidmatan yang unggul kepada rakyat,” kata kenyataan tersebut.

image is not available

Nor Hisham dilahirkan pada 12 Oktober 1972 di Panchor, Perak Darul Ridzuan. Beliau telah mendapat pendidikan awal dan menengah di Pahang sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Alam Sekitar pada tahun 1996.

Beliau memperolehi Business And Technology Education Council (BTEC) Higher National Diploma In Fire Command And Management Studies, University Of Central Lancashier, United Kingdom pada tahun 2002 sebelum menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi MARA pada tahun 2016.

Perjalanan karier beliau dalam perkhidmatan awam di JBPM bermula pada 16 Mei 1997 sebagai Penguasa Bomba Gred KB41 di Bahagian Keselamatan Kebakaran ibu pejabat JBPM.

image is not available

Istiadat Pemakaian Tanda Pangkat Ketua Pengarah JBPM

Antara jawatan pernah disandang beliau adalah Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (2020-2023), Pengarah JBPM Negeri Pahang (2018-2020), Pengarah JBPM Negeri Sarawak (2011-2018) dan Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah (2009 – 2011).

Nor Hisham juga pernah mengetuai beberapa operasi kebakaran dan penyelamatan berskala besar antaranya sebagai Komander Kanan Operasi SAR Helikopter Terhempas di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei 2016 dan Pengarah Operasi National Emergency Management Committee (NEMC), Banjir/Bah Besar yang melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pada 17 Disember 2021.