
KATHMANDU: Angka korban banjir dahsyat di sempadan China-Nepal meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,003 orang, selepas Nepal merekodkan 987 kematian, menurut pihak berkuasa bencana hari ini.
Media kerajaan China sebelum ini mengesahkan 16 kematian di Tibet, menjadikan jumlah keseluruhan korban bencana yang berlaku Rabu lalu itu melebihi 1,000 orang.
Di Nepal, jumlah mangsa yang masih hilang menurun kepada 3,916 orang ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ketujuh, manakala jumlah mayat yang ditemukan terus meningkat.
Di China, seramai 546 orang masih hilang, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang belum ditemukan di kedua-dua negara kepada 4,462 orang.
Di Nepal, mangsa yang masih hilang termasuk 583 warga asing daripada lebih 30 negara, manakala di China, 261 warga asing dari 23 negara turut dilaporkan hilang.
Warga India merupakan antara kumpulan warga asing terbesar yang masih hilang di Nepal, dengan 275 rakyat India dan 128 individu berketurunan India dilaporkan belum ditemukan, menurut New Delhi.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Ahad memaklumkan 85 rakyat negara itu masih hilang.
Laporan media, termasuk daripada Lembaga Pelancongan Nepal dan kedutaan asing, turut menyebut 62 warga Ukraine, 51 rakyat Malaysia, 42 warga Australia dan 33 warga Britain masih hilang.
Di India, pihak berkuasa Uttar Pradesh memaklumkan 17 mayat ditemukan dari sungai yang mengalir dari Nepal dan dipercayai mangsa banjir.
Usaha mengenal pasti mayat berkenaan sedang dijalankan dan angka itu belum dimasukkan dalam jumlah korban bencana.- AFP
The post Korban banjir dahsyat Nepal-China cecah 1,003 appeared first on Utusan Malaysia.


