
SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung mencadangkan rundingan dengan Korea Utara bagi menamatkan perang secara rasmi antara kedua-dua negara yang secara teknikal masih belum berakhir sejak lebih tujuh dekad lalu.
Jae Myung mengemukakan cadangan itu ketika berucap pada upacara memperingati Hari Pembebasan Korea, yang menandakan pembebasan Semenanjung Korea daripada pemerintahan Jepun.
Beliau mencadangkan pembentukan sistem keselamatan bertingkat bagi mengelakkan tercetus semula ketegangan di sepanjang sempadan de facto kedua-dua negara, yang dikenali sebagai Zon Bebas Tentera (DMZ), selain menawarkan rundingan mengenai langkah praktikal untuk menghentikan pembangunan keupayaan nuklear Pyongyang.
“Marilah kita mengenepikan niat untuk mengancam satu sama lain dan memulakan rundingan bagi menamatkan perang yang berlarutan ini sebagai pihak yang terlibat secara langsung,” kata Jae Myung.
Beliau berharap kedua-dua negara dapat duduk bersemuka demi kewujudan bersama secara aman dan pertumbuhan bersama, sambil menyifatkan rundingan itu sebagai platform untuk membincangkan kaedah berkesan bagi menghentikan kemajuan keupayaan nuklear Korea Utara.
Korea Utara setakat ini belum memberi respons terhadap tawaran tersebut.
Konflik antara kedua-dua Korea secara efektif terhenti selepas perjanjian gencatan senjata ditandatangani pada 1953. Namun, kedua-duanya tidak pernah menandatangani perjanjian damai, menyebabkan mereka secara teknikal masih berada dalam keadaan perang.
Sejak itu, beberapa pertempuran dan ketegangan berlaku di sepanjang DMZ, selain kedua-dua pihak saling menuduh melakukan provokasi, termasuk insiden belon yang membawa sampah dan bahan propaganda.
Korea Utara juga terus menguji peluru berpandu balistik yang mampu membawa kepala peledak nuklear, tindakan yang dilihat Korea Selatan dan Jepun sebagai usaha Pyongyang untuk menakut-nakutkan musuh serta menunjukkan kekuatan tenteranya.
Agensi berita rasmi Korea Utara hanya melaporkan pemimpin negara itu, Kim Jong Un menghadiri sambutan Hari Pembebasan negara berkenaan dengan upacara meletakkan kalungan bunga dan kawalan kehormatan.
Jae Myung yang menjadi Presiden Korea Selatan tahun lalu selepas pendahulunya, Yoon Suk Yeol dilucutkan jawatan susulan cubaan mengisytiharkan undang-undang tentera berusaha memperbaiki hubungan dengan Korea Utara dan sekutunya, China, yang merosot ketika pentadbiran terdahulu.
Bagaimanapun, Pyongyang sebelum ini menolak beberapa tawaran Jae Myung untuk berunding, selain mengkritik perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) bagi membangunkan armada kapal selam berkuasa nuklear untuk Korea Selatan serta mengecam latihan ketenteraan bersama kedua-dua sekutu itu.
Pada Januari 2024, Jae Myung mengumumkan penyatuan semula dengan Korea Selatan tidak lagi boleh dilakukan.
Beliau turut berkata, Perlembagaan Korea Utara perlu dipinda bagi mendidik rakyat bahawa Korea Selatan merupakan ‘musuh utama dan tetap’ negara itu.-AGENSI
The post Korea Selatan cadang rundingan rasmi tamatkan perang dengan Korea Utara appeared first on Utusan Malaysia.



