Korea Selatan dakwa Pyongyang miliki sehingga 120 senjata nuklear

WorldPolitics
21 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Korea Selatan dakwa Pyongyang miliki sehingga 120 senjata nuklear

SEOUL: Menteri Pertahanan Korea Selatan, Ahn Gyu-back membuat pendedahan yang mengejutkan apabila mendakwa negara jirannya,  Korea Utara memiliki antara 80 hingga 120 senjata nuklear.

Pendedahan itu sekali gus menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu yang mendakwa Pyongyang memiliki 57 senjata nuklear, dalam penilaian yang jarang dibuat dan luar biasa terperinci mengenai persenjataan itu.

Gyu-back, memberitahu ahli Parlimen pada Khamis bahawa Korea Utara secara umum­nya dipercayai memiliki jumlah  peledak nuklear itu walaupun beliau mengingatkan bahawa angka sebenar sukar ditentukan.

“Kami biasanya menganggarkan jumlahnya sekitar 80 hingga 120 (kepala peledak), tetapi agak sukar untuk menyatakan angka yang tepat,” katanya kepada sebuah jawatankuasa Parlimen.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa angka tersebut diperoleh berdasarkan anggaran organisasi penyelidikan swasta dan menambah bahawa tentera Korea Selatan tidak dapat mengesahkan jumlah itu secara rasmi.

Ketika ditanya mengenai ke­nya­taan Trump sehari sebelumnya bahawa Korea Utara memiliki 57 senjata nuklear yang sangat berkuasa, Gyu-back berkata: “Jumlah itu (angka yang diberikan Trump) kelihatan agak berbeza.”

Korea Selatan secara tradisinya mengelak daripada mendedahkan secara terbuka anggaran terperinci mengenai simpanan senjata nuklear Korea Utara.

Ia turut tidak mengiktiraf Pyongyang secara rasmi se­bagai negara bersenjata nuklear.

Seoul bertindak demikian selaras dengan dasarnya yang tidak menyokong dasar pemilikan senjata nuklear.

Bagaimanapun, pada Jun lalu, Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) menganggarkan Korea Utara mungkin mempunyai sekitar 60 kepala peledak nuklear dan memiliki bahan yang mencukupi untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 30 lagi senjata itu.

Sementara itu, Korea Utara berulang kali berikrar untuk memperkukuh kekuatan nuklearnya dari segi kualiti dan kuantiti.

Pyongyang berulang kali menegaskan statusnya sebagai negara bersenjata nuklear tidak akan berubah, selain menyifatkan Korea Selatan sebagai negara ‘pa­ling bermusuhan’.

Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi pada April lalu berkata, Korea Utara menunjukkan peningkatan sangat ketara dalam keupayaan menghasilkan senjata nuklear.

Grossi berkata, peningkatan aktiviti dikesan di beberapa kemudahan di Yongbyon, termasuk reaktor berkapasiti lima megawatt, kemudahan pemprosesan semula dan reaktor air ringan.

 

The post Korea Selatan dakwa Pyongyang miliki sehingga 120 senjata nuklear appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved