Hari ini tiba giliran Korea Selatan pula menghalang penggunaan model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek atas sebab-sebab keselamatan. Halangan penggunaan AI yang dibangunkan China ini adalah pada komputer di beberapa kementerian dan juga oleh pihak polis. Seperti pengharaman oleh Australia dan Taiwan sebelum ini, Korea Selatan juga mengambil langkah yang sama atas sebab-sebab keselamatan.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan ialah yang pertama menghalang akses kepada DeepSeek dengan arahan kini diberikan kepada anggota tentera untuk tidak menggunakannya juga pada telefon pintar peribadi. Pada Selasa lalu, Kementerian Dalam Negeri meminta kementerian kerajaan pusat dan 17 kerajaan tempatan berhati-hati menggunakan semua jenis AI generatif di tempat kerja.
Penggunaan DeepSeek oleh rakyat biasa masih boleh dilakukan di Korea Selatan, Taiwan dan Australia. Di Amerika Syarikat seorang senator mencadangkan RUU penggunaan semua model AI keluaran China perlu dikenakan penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga $100 juta.


