Koridor Darat-Laut Baharu tingkatkan perdagangan dua hala Malaysia, China - MPOB

24 May 2023 • 4:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Koridor Darat-Laut Baharu tingkatkan perdagangan dua hala Malaysia, China - MPOB

zulfadli

24/05/2023 - 16:22

KUALA LUMPUR 24 Mei - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melihat Koridor Darat-Laut Baharu yang menghubungkan Wilayah Barat China dengan negara-negara ASEAN meningkatkan lagi kemudahan dan kebolehcapaian perdagangan dua hala antara Malaysia dan China.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, melalui kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D), MPOB secara aktif membantu industri untuk membekalkan minyak sawit ke pasaran China yang bernilai tinggi, khususnya untuk sektor makanan dan bukan makanan.

Katanya, minyak sawit merah, sebagai produk minyak sawit yang sihat dan bernilai tambah tinggi telah memasuki pasaran China tahun lalu.

"Dalam sektor bukan makanan, kami telah bekerjasama dengan Universiti Tsinghua untuk membuktikan pengurangan karbon dalam pengangkutan berat tempatan dengan menggunakan biodiesel berasaskan sawit.

"Di samping itu, kami secara aktif menyertai program seperti Pameran Antarabangsa China Barat untuk Pelaburan dan Perdagangan Kelima (WCIFIT ke-5) untuk bertemu dengan rakan kongsi dan meneroka bidang kerjasama baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Parveez, pihaknya percaya bahawa dengan usaha bersama Malaysia dan China, hubungan dua hala antara kedua-dua negara akan lebih erat, manakala perdagangan akan berkembang dengan lebih baik.

Katanya, minyak sawit mempunyai potensi komersial besar dalam industri Chongqing, kerana ia bukan sahaja digunakan sebagai bahan mentah dalam pengeluaran makanan dan minuman tetapi juga dalam kosmetik, keperluan harian, minyak wangi, bahan kimia dan rangkaian produk popular lain.

image is not available
Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

"Sebagai bandar penting untuk kedua-dua industri ringan dan berat di China, Chongqing memerlukan lebih banyak minyak sawit untuk memacu pembangunannya," katanya.

Dalam pada itu, Malaysia telah dipilih sebagai Negara Kehormat di Pameran Antarabangsa bagi Pelaburan dan Perdagangan China Barat tahun ini yang merupakan pameran pertama Malaysia mengambil bahagian sebagai Negara Kehormat, selepas lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada hujung Mac 2023.

MPOB telah membawa syarikat-syarikat minyak sawit dari Malaysia untuk menyertai ekspo itu melalui Pavilion Malaysia.

Ahmad Parveez melihat acara itu sebagai platform yang baik untuk meneroka secara aktif bidang kerjasama baharu dengan industri China, seperti oleokimia, farmaseutikal, makanan diproses dan produk khusus.

"Ini membantu mengukuhkan pertukaran perniagaan dan kerjasama serta mencapai faedah ekonomi bersama.

"Kami juga berharap melalui acara ini, mesej penting berkaitan minyak sawit dapat disebarkan kepada pengguna China, membolehkan mereka lebih memahami kelebihan minyak sawit Malaysia serta produknya yang berkualiti tinggi dan mampan," katanya.

Malaysia dan China akan menyambut ulang tahun ke-49 jalinan hubungan diplomatik pada 31 Mei tahun ini. Selama 49 tahun yang lalu, Malaysia dan China telah mengekalkan hubungan ekonomi dan perdagangan yang kukuh, dengan China menjadi salah satu pengimport utama minyak sawit Malaysia.

Tahun lepas, eksport minyak sawit Malaysia ke China mencecah 3.141 juta tan, bernilai RM14.86 bilion (kira-kira RMB 2.31 bilion). - DagangNews.com