Kos baiki kerosakan akibat banjir di Keningau lebih RM28 juta

LocalEnvironment
30 Mar 2025 • 4:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Marutin Ansiung

KENINGAU: Lebih RM28 juta diperlukan untuk membaiki kerosakan kemudahan awam akibat banjir di daerah ini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, antara peruntukan terbesar, RM17 juta, diperlukan untuk meluruskan Sungai Pegalan di Kampung Gasabon, Apin-Apin.

“Ini termasuk memindahkan aliran sungai ke aliran asal, dan tanah-tanah yang beralih disebabkan hakisan perlu dipindah balik untuk menstabilkan tanah. Selain itu, tebing sungai mesti ditinggikan bagi mengelak air yang kerap melimpah di kampung itu apabila banjir.

Jeffrey, yang juga Ahli Parlimen Keningau, berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat menangani bencana alam di Pejabat Daerah di sini, pada Khamis.

Beliau menekankan keperluan tindakan segera untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan secepat mungkin.

Pada masa sama, Jeffrey menegaskan keperluan peruntukan segera dan berharap kerajaan pusat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), selain kerajaan negeri, dapat menyalurkan peruntukan ini.

Beliau berkata, perubahan iklim dunia yang turut membabitkan Malaysia, memberi kesan kepada persekitaran seperti banjir, hakisan tebing sungai dan tanah runtuh.

Katanya, apa yang membimbangkan ketika ini adalah suatu takungan sepanjang 300 meter dengan kedalaman enam meter di Sungai Malapi, Ulu Bayayo, yang terbentuk akibat runtuhan sepanjang dua kilometer ketika banjir baru-baru ini.

Beliau memberi amaran, sekiranya takungan air itu runtuh, ia boleh mengakibatkan banjir kilat dan akan menjejaskan penduduk di sepanjang Sungai Bayayo.

“Sehubungan itu, kita beri makluman kepada penduduk kampung, terutama yang tinggal di pinggir Sungai Bayayo melalui sistem amaran awal, dan juga memastikan mereka berpindah atau barang-barang mereka dipindahkan sementara waktu.

“Kita juga berharap hujan tidak akan turun berterusan supaya takungan itu akan pecah perlahan-lahan secara semula jadi,” katanya.