
KUALA LUMPUR - Cadangan kumpulan pemikir tempatan Emir Research untuk menentukur semula pelancaran jalur lebar 5G negara akan menjadi empat hingga lima kali lebih mahal di peringkat borong berbanding model Single Wholesale Network (SWN) yang digunakan kerajaan, kata firma bebas Britain.
Dalam laporan baru-baru ini, Plum Consulting London LLP menyangkal dakwaan Emir bahawa Digital Nasional Bhd (DNB), sebuah badan tujuan khas yang melaksanakan pelancaran itu, memerlukan lebih 10,000 kawasan menara pemancar untuk menyediakan 90% liputan populasi menjelang 2027.
Laporan disediakan perunding Grant Forsyth, David Lewin dan Profesor William Webb menyatakan, andaian dibuat Emir adalah melangkaui 7,500 kawasan menara pemancar yang menyaksikan DNB memerlukan 80 peratus liputan populasi.
Plum juga menegaskan bahawa anggaran 10,000 kawasan menara pemancar oleh DNB adalah mencukupi.
"Tiada bukti yang menunjukkan bahawa anggaran (oleh DNB) ini salah," kata firma itu dalam laporannya.
"Konklusi Emir mungkin mempunyai kesahihan jika, seperti yang diandaikan, spektrum 5G tidak tersedia pada 700 MHz.
“Tetapi ia ada dan akan digunakan secara meluas oleh DNB untuk menyediakan liputan kerana rangkaiannya diperluaskan daripada 80% kepada 90% liputan populasi.”
Firma Britain itu merujuk kepada artikel yang ditulis baru-baru oleh presiden dan ketua eksekutif Emir Research Rais Hussin bertajuk ‘Reviewing Contentious DNB’s 5G’, yang diterbitkan di pelbagai laman berita pada 6 Disember.
Antara lain, Plum menyangkal dakwaan Rais bahawa akan wujud "industri dengan persaingan dan inovasi yang rendah seterusnya merendahkan kualiti tetapi tidak mengurangkan harga” jika model SWN digunakan dan bukannya beberapa rangkaian akses 5G.
Plum juga berkata bahawa melancarkan enam rangkaian 5G - satu untuk setiap syarikat telekomunikasi utama - memerlukan enam kali lebih banyak stesen pangkalan 5G.
“Kos unit bagi setiap stesen pangkalan mungkin lebih rendah sedikit di bawah pilihan enam rangkaian. Tetapi kami menganggarkan kos keseluruhan 10 tahun pemilikan rangkaian 5G di bawah pilihan ini akan menjadi empat hingga lima kali lebih besar berbanding SWN,” katanya.
“Ini bermakna harga pengguna akhir di bawah SWN dijangka sekitar 60% lebih rendah berbanding dengan penggunaan enam rangkaian 5G.”
Plum pakar dalam menasihati kerajaan, pengawal selia dan pengendali di seluruh dunia mengenai dasar telekomunikasi, peraturan, pasaran dan isu teknologi.
Firma itu telah berkata bahawa sejak 15 tahun lalu ia telah mengusahakan beratus-ratus projek sedemikian termasuk kerja-kerja melibatkan perkhidmatan mudah alih 4G dan 5G. - Getaran, 21 Disember 2022
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL

