hamden30/07/2026 - 16:07 KOTA KINABALU 30 Julai - Sebahagian pesawah di Sabah dilaporkan menangguhkan aktiviti penanaman padi berikutan peningkatan kos operasi susulan pelaksanaan mekanisme BUDI MySubsidi Diesel, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap usaha meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negeri.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, isu itu dibangkitkan dalam sesi libat urus bersama pemain industri padi pada Selasa apabila jentera pertanian tidak layak menerima subsidi diesel, menyebabkan kos operasi meningkat antara RM50 hingga RM80 sehektar.
Beliau berkata, situasi itu boleh menjejaskan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran padi dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras dari luar Sabah.
"Kami sedang berusaha meningkatkan tahap sara diri beras Sabah, namun isu BUDI MySubsidi Diesel boleh menyebabkan pesawah hilang semangat untuk terus mengusahakan sawah mereka.
"Di Semenanjung Malaysia, harga belian padi ialah RM1.50 sekilogram, manakala di Sabah masih kekal pada RM1.30 sekilogram. Kami mahu pesawah di Sabah menikmati harga belian yang sama," katanya lapor Borneo Post Online.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra bersama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan.
Menurut Jamawi, pesawah di Semenanjung turut menerima subsidi penuaian sebanyak RM50 serta harga belian RM1,500 setan, justeru kerajaan Sabah mahu insentif yang sama diberikan kepada pesawah di negeri itu.
Beliau turut berpandangan bahawa beras putih tempatan sewajarnya menerima subsidi sebagaimana beras putih import demi memastikan layanan yang adil kepada pengusaha padi di Sabah.
Jamawi menegaskan kerajaan negeri kekal dengan pendirian menolak pelaksanaan mekanisme BUDI MySubsidi Diesel selagi beberapa penambahbaikan yang dicadangkan belum dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan.
Katanya, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah dua minggu lalu dan dipersetujui sebulat suara supaya pelaksanaannya ditangguhkan sehingga isu-isu berkaitan dapat diselesaikan.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk mengambil kira keadaan operasi di Sabah seperti pertukaran hak milik kenderaan antara peminjam pertama dan kedua serta urusan sewa beli yang tidak memenuhi syarat pembiayaan institusi perbankan.
Menurut Jamawi, cadangan tersebut turut mendapat sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah memberi tempoh dua hingga tiga minggu kepada Kementerian Kewangan untuk memberikan maklum balas dan yakin keputusan baharu akan diumumkan dalam tempoh tersebut. - DagangNews.com






