Kos kemasukan rendah akan beri kelebihan kepada peneraju awal Malaysian Vision Valley 2.0 - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
16 Jul 2025 • 6:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos kemasukan rendah akan beri kelebihan kepada peneraju awal Malaysian Vision Valley 2.0 - Maybank IB

image is not available

16/07/2025 - 18:06

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 di Negeri Sembilan akan memberi manfaat besar kepada pelabur awal khususnya pemilik ladang dan pemaju hartanah, menurut Maybank Investment Bank Research.

Firma penyelidikan itu berkata, pemilik ladang seperti Sime Darby Plantation dijangka meraih manfaat pembangunan MVV 2.0, manakala pemaju seperti Sime Darby Property, MUI Properties dan Matrix Concepts Holdings akan menikmati kelebihan ‘first-mover’ menerusi kos tanah yang masih rendah.

“Eco World Development juga berpotensi meraih manfaat, khususnya melalui penglibatan dalam hab makanan halal yang telah dibangunkan,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

Bagaimanapun, Maybank IB juga memberi amaran terhadap risiko persaingan antara negeri dan pemaju susulan pelancaran lebih banyak taman perindustrian di rantau ini, termasuk Zon Bebas Pelabuhan Dickson.

Lokasi MVV 2.0 yang sangat strategik sebagai sambungan semula jadi kepada Lembah Klang itu dijangka mendapat limpahan pertumbuhan daripada Kuala Lumpur dan Selangor, selain kelebihan kos tanah yang lebih rendah.

Negeri Sembilan juga dilihat bakal memainkan peranan penting sebagai hab perindustrian utama di Malaysia tengah, sejajar dengan kelulusan Majlis Pelaburan Negara yang membenarkan kawasan seperti Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur membentuk identiti kluster industri tersendiri.

Maybank IB menjangkakan lebih banyak pemaju akan menyertai pembangunan hartanah industri dan kediaman di MVV 2.0, sekali gus meningkatkan tahap persaingan dalam tempoh terdekat.

Firma itu turut menjangkakan pelancaran taman perindustrian baharu seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian di Perak serta projek industri di Pulau Carey, Selangor.

Maybank IB berkata, Negeri Sembilan tidak bersaing secara langsung dengan negeri seperti Johor, Selangor atau Pulau Pinang, sebaliknya mengambil pendekatan sebagai rakan pelengkap dengan menawarkan tanah pegangan bebas pada harga mampu milik, lokasi strategik berhampiran KLIA dan Pelabuhan Klang, serta infrastruktur yang sedang dipertingkat.

Sebagai langkah menarik pelabur, kerajaan negeri juga memperkenalkan inisiatif ‘fast lane’ yang mengurangkan tempoh kelulusan pelaburan daripada 24 bulan kepada 14 bulan.

Antara projek infrastruktur utama yang sedang dibangunkan termasuk Lebuhraya Nilai–Labu yang dijangka siap pada separuh kedua 2026, serta pelabuhan kontena berkuasa kecerdasan buatan pertama di Malaysia di Port Dickson menerusi kerjasama awam-swasta. - DagangNews.com

standard

View Original Article