liza06/01/2026 - 12:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Jan – Kajian yang dijalankan Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) mendapati kebimbangan rakyat terhadap kos sara hidup masih menjadi isu utama, walaupun tahap kepuasan terhadap Kerajaan Madani dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan sedikit peningkatan.
Kajian yang melibatkan 1,604 responden berumur 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia antara 15 November hingga 19 Disember 2025 itu menunjukkan tahap kepuasan rakyat terhadap Kerajaan Madani meningkat daripada 41% pada Jun 2025 kepada 49% pada Disember 2025.
Sementara itu, prestasi Perdana Menteri mencatatkan peningkatan daripada 33% kepada 46% dalam tempoh yang sama.
Dari segi kaum, 58% responden Cina menyatakan rasa puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri, diikuti India 42% dan Melayu 40%.
Walaupun peningkatan dicatatkan, tahap kepuasan rakyat masih di bawah paras 50% menunjukkan prestasi kerajaan belum memuaskan sepenuhnya.
Kajian itu juga menunjukkan hanya 36% rakyat berpuas hati dengan prestasi Ahli Parlimen kerajaan, manakala prestasi Ahli Parlimen pembangkang mendapat 27% tahap kepuasan.
Berdasarkan respons rakyat, isu kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama dengan 42% responden diikuti rasuah (12%), pembangunan ekonomi dan kestabilan politik masing-masing 9%, hak etnik, kebajikan rakyat dan peluang pekerjaan masing-masing 4%, pembangunan infrastruktur dan isu agama masing-masing 3%, serta pendidikan 2%.
Hanya 39% responden berpuas hati dengan usaha kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah utama mereka.
Persepsi terhadap prestasi ekonomi negara juga berbelah-bahagi, dengan 50% berpuas hati terhadap keadaan ekonomi secara umum, namun hanya 41% berpuas hati dengan pendapatan peribadi mereka.
Dari segi dasar kerajaan, 63% responden menyokong rasionalisasi subsidi RON95 dan 55% berpuas hati dengan kaedah pelaksanaannya.
Pemberian 300 liter petrol RON95 bersubsidi secara bulanan melalui inisiatif Budi Madani dilihat sedikit menampan kesan kenaikan kos sara hidup.
Namun, 75% rakyat tidak berpuas hati dengan peluasan skop SST manakala 54% tidak berpuas hati dengan kadar tarif elektrik baharu yang diperkenalkan kerajaan.
Sokongan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar pula ialah 49%, manakala hanya 35% berpendapat Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS menjejaskan kedaulatan negara.
Berkaitan calon Perdana Menteri selepas PRU-16 pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului dengan 46% sokongan, diikuti Datuk Seri Anwar Ibrahim 39% dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 16%.
Dari segi sokongan kaum, Muhyiddin mendapat sokongan tertinggi dalam kalangan Melayu (56%) manakala Anwar paling tinggi dalam kalangan Cina (50%).
Selain itu, tokoh politik lain yang mendapat perhatian termasuk Khairy Jamaluddin (52%), Datuk Seri Najib Razak (41%), Tun Dr. Mahathir Mohamad (33%), Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (29%), Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (20%) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin (17%).
Kajian Institut MASA menekankan bahawa walaupun terdapat peningkatan kepuasan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, kebimbangan rakyat terhadap kos sara hidup dan ekonomi tetap tinggi, menuntut tindakan berkesan kerajaan untuk menstabilkan kehidupan rakyat dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com


