MEMBESARKAN anak pada hari ini bukan lagi sekadar menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Bagi ibu bapa, pendidikan awal juga semakin menjadi satu keperluan yang tidak boleh dipandang ringan.
Malah, kos menghantar anak ke tadika ada kalanya terasa lebih membebankan berbanding kos pendidikan tinggi.
Lima puluh tahun dahulu, kanak-kanak mula bersekolah pada usia tujuh tahun di sekolah rendah bukan perkara yang pelik.
Pada usia itu mereka baru mengenal huruf dan nombor, tidaklah dianggap ketinggalan.
Berbeza dengan suasana masa kini. Ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak ke tadika seawal usia tiga atau empat tahun.
Kesedaran terhadap kepentingan pendidikan awal semakin meningkat.
Pada usia empat tahun pun, ada ibu bapa yang sudah mengharapkan anak mereka mengenal huruf, membaca, menulis dan mengira.
Dalam keadaan ini, ibu bapa berasa bimbang sekiranya anak tidak mendapat pendedahan pendidikan awal.
Mereka khuatir anak akan ketinggalan apabila memasuki alam persekolahan formal.
Namun, kesedaran ini datang bersama satu persoalan besar. Berapa banyak yang perlu dibayar oleh sebuah keluarga untuk memastikan anak mendapat pendidikan awal yang baik?
Yuran tadika swasta, bergantung kepada lokasi, kemudahan dan pakej yang ditawarkan. Ia boleh menjadi komitmen bulanan yang besar.
Anggaran yuran boleh mencecah sekitar RM500 hingga RM1,500 sebulan.
Bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak kecil, jumlah ini tentunya memberi kesan langsung kepada perbelanjaan isi rumah.
Data rasmi menunjukkan betapa pentingnya sektor swasta dalam pendidikan awal kanak-kanak. Pada 2025, seramai 110,682 kanak-kanak berumur lima tahun mengikuti prasekolah swasta.
Pada tahun yang sama, enrolmen umur lima tahun ialah 67,284 di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 95,474 di Tabika Kemas dan 15,823 di Tabika Perpaduan.
Ini bermakna sektor swasta bukan sekadar pilihan tambahan, tetapi menjadi sebahagian penting dalam memenuhi permintaan pendidikan awal negara.
Kerajaan sememangnya sedang meningkatkan kapasiti pendidikan awal kanak-kanak. Setakat Februari 2026, terdapat 10,514 kelas prasekolah di 6,469 institusi, manakala 350 kelas baharu dirancang untuk ditambah pada 2026.
Kapasiti keseluruhan prasekolah kerajaan yang merangkumi KPM, Kemas dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pula dilaporkan sebanyak 110,889 tempat.
Namun, persoalannya bukan hanya berapa banyak tempat yang tersedia. Persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan ibu bapa ialah berapa lama anak boleh berada di pusat tersebut dan bagaimana pula kosnya?
Bagi ibu bapa yang bekerja, pendidikan prasekolah sahaja belum tentu menyelesaikan masalah penjagaan anak.
Jika sesi pendidikan tamat pada tengah hari sedangkan ibu bapa masih bekerja sehingga petang, wujud satu “jurang penjagaan” yang perlu diisi.
Ibu bapa akhirnya terpaksa mencari Taska, pusat transit, pengasuh atau perkhidmatan penjagaan swasta.
Inilah dilema yang sering tidak kelihatan dalam perbincangan mengenai pendidikan awal. Anak mungkin sudah mendapat tempat di prasekolah kerajaan, tetapi ibu bapa masih perlu memikirkan siapa yang akan menjaga anak selepas waktu persekolahan tamat.
Lebih-lebih lagi, kerajaan kini sedang menuju pelaksanaan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun. Maka, isu kapasiti tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut bilangan bilik darjah dan guru.
Perancangan perlu turut mengambil kira keperluan penjagaan anak bagi keluarga yang kedua-dua ibu bapanya bekerja.
Kerajaan sememangnya perlu terus memperluas prasekolah awam, tetapi pada masa yang sama, ekosistem penjagaan kanak-kanak yang mampu milik dan berkualiti juga perlu diperkukuh.
Dalam menilai kemampuan rakyat, janganlah kita hanya melihat siapa yang berada dalam kategori B40, M40 atau T20.
Ada keluarga yang secara statistik tidak tergolong dalam B40, tetapi apabila dihitung kos rumah, pengangkutan, makanan, pendidikan dan jumlah anak yang ditanggung, ruang kewangan mereka juga amat terhad.
Pendidikan awal tidak seharusnya menjadi perlumbaan yang menyebabkan keluarga terpaksa berbelanja di luar kemampuan. Pendidikan anak-anak merupakan satu keperluan yang tidak boleh dikompromi.
Namun, ibu bapa juga perlu diberikan sokongan yang sewajarnya agar kos pendidikan dan penjagaan anak dapat ditanggung tanpa menjadi beban kewangan yang keterlaluan.
Mungkin sudah tiba masanya kita tidak lagi bertanya, “Berapa mahal tadika anak saya?” tetapi bertanya soalan yang lebih besar:
“Adakah sistem pendidikan dan penjagaan kanak-kanak negara benar-benar mampu menyokong keluarga Malaysia?”
* Dr Farah Laili Muda @ Ismail ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia
