Kos Tersembunyi Perjalanan Rakyat Malaysia: Masa yang Tidak Pernah Dihargai Secara Sebenar

LocalOpinion
30 Apr 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos Tersembunyi Perjalanan Rakyat Malaysia: Masa yang Tidak Pernah Dihargai Secara Sebenar Image from: Kos Tersembunyi Perjalanan Rakyat Malaysia: Masa yang Tidak Pernah Dihargai Secara Sebenar johardy30/04/2026 - 08:00 Oleh Faiz Azmi, Pengasas Financial Faiz suratpembaca@dagangnews.com

Setiap tahun, rakyat Malaysia merancang perjalanan balik kampung dengan beberapa pertimbangan penting seperti kos tol, minyak dan tiket penerbangan.

 

Apabila menyentuh soal perjalanan, kita cenderung mengkategorikan perbelanjaan kepada beberapa item ringkas. Namun hakikatnya, terdapat satu elemen yang sering dinilai terlalu rendah — masa kita sendiri.

 

Mari kita huraikan dengan lebih terperinci.

 

Perjalanan memandu dari Kuala Lumpur ke Dungun atau Kuantan di Pantai Timur semasa musim perayaan boleh mengambil masa antara enam hingga lapan jam, malah lebih lama bergantung kepada trafik dan cuaca.

 

Jika dinilai berdasarkan kadar gaji minimum di Malaysia, masa seorang rakyat Malaysia bernilai RM8 sejam. Ini bermakna setiap individu ‘kehilangan’ sekurang-kurangnya sekitar RM96 hingga RM130.

 

Jika menggunakan anggaran pendapatan yang lebih tinggi, nilainya meningkat dengan ketara. Contohnya, bagi individu yang berpendapatan RM3,000 sebulan, masa dianggarkan bernilai sekitar RM17 sejam.

 

Dan itu baru permulaan.

 

Kos langsung merujuk kepada perkara yang lazim dipertimbangkan dan bersifat nyata, seperti minyak, tol, penginapan serta perbelanjaan makanan dan sebagainya.


 

FAIZ AZMI
FAIZ AZMI

 


Masa sebagai Kos yang Tidak Terlihat

Selain penggunaan minyak yang meningkat akibat kesesakan lalu lintas, terdapat implikasi jangka panjang seperti kehausan dan kerosakan kenderaan.

 

Di samping itu, terdapat apa yang saya panggil sebagai ‘premium risiko’ yang berpunca daripada ketidakpastian — kelewatan, kesesakan serta tempoh perjalanan yang tidak menentu pada waktu puncak. Tidak kurang penting, keletihan fizikal dan mental akibat pemanduan jarak jauh juga merupakan kos yang sukar dinilai dengan wang.

 

Namun begitu, kebanyakan kita masih membuat keputusan berdasarkan perkara yang boleh dilihat secara langsung.

 

Dalam kewangan tingkah laku, fenomena ini disebut sebagai ‘cash bias’ — kecenderungan menumpukan perhatian kepada perbelanjaan tunai yang nyata, namun mengabaikan faktor lain. Sebab itu, menghabiskan berjam-jam dalam kesesakan terasa masuk akal, sedangkan membayar untuk pilihan yang lebih pantas dan boleh dipercayai dianggap mahal.

 

Hakikatnya, pertimbangan nilai (trade-off) ini tidak semudah itu.

 

Di luar musim perayaan, perjalanan harian kini semakin memakan masa dan sukar dijangka. Perjalanan yang dahulunya hanya mengambil masa 30 minit kini boleh menjadi lebih panjang tanpa disedari akibat kesesakan, cuaca atau faktor masa.

 

Lama-kelamaan, ketidakpastian ini berkumpul — bukan sahaja dari segi kos minyak, tetapi juga masa yang hilang, keletihan serta keperluan merancang dalam keadaan tidak menentu.

 

Dua jam yang terperangkap dalam kesesakan sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk menyiapkan kerja berbayar atau menguruskan urusan lain. Namun sebaliknya, masa tersebut ‘terserap’ ke dalam perjalanan tanpa disedari.

 

Jika keadaan ini berlaku empat hingga lima kali seminggu, jumlah masa yang hilang boleh mencecah 20 hingga 30 jam — hampir bersamaan satu minggu bekerja penuh.

 

Apabila Ketidakpastian Menjadi Kos Tersembunyi

Ini menimbulkan persoalan yang lebih besar: jika ketidakpastian kini menjadi sebahagian daripada perjalanan harian, bagaimana kita harus menilai dan mengurangkan kos tersembunyi ini?

 

Salah satu perubahan yang sedang berlaku ialah penambahbaikan secara beransur-ansur dalam aspek keterhubungan, khususnya melalui rangkaian rel dan alternatif lain, yang memperkenalkan pemboleh ubah baharu dalam persamaan ini.

 

Antara projek yang mencerminkan perubahan ini ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dijangka menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat dengan tempoh perjalanan yang lebih konsisten. Sebagai contoh, perjalanan dari Selangor melalui Gombak ke Kuantan, Pahang dijangka mengambil masa sekitar satu jam 35 minit melalui perkhidmatan ekspres.

 

Apa yang menonjol bukan sekadar penjimatan masa, tetapi pengurangan ketidakpastian.

 

Perjalanan yang lebih boleh diramal akan mengubah keseluruhan persamaan. Tempoh perjalanan dapat dijangka dengan lebih tepat, tanpa keperluan untuk bertolak terlalu awal, menyediakan masa tambahan atau menerima pembaziran masa sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

 

Ini membolehkan perancangan yang lebih cekap — sama ada untuk menyusun jadual, mengurangkan pembaziran masa atau menyingkirkan kebimbangan terhadap ketidakpastian.

 

Di sinilah penambahbaikan keterhubungan menjadi penting secara praktikal. Ia bukan semata-mata tentang kelajuan, tetapi tentang konsistensi sebagai satu bentuk kawalan kos.

 

Mengurus Masa Sebagai Sumber Ekonomi

Lama-kelamaan, apabila pilihan seperti ECRL semakin berkembang, ia berpotensi menjadi sebahagian daripada rutin perjalanan harian, sekali gus menyokong penggunaan masa dan sumber yang lebih cekap serta boleh diramal.

 

Hal ini penting kerana kewangan peribadi bukan sekadar tentang meminimumkan perbelanjaan, tetapi tentang memahami kos sebenar sesuatu keputusan dan membuat pertimbangan nilai yang lebih bijak.

 

Akhirnya, kita harus berhenti menyalahkan faktor luaran seperti kesesakan lalu lintas atau harga bahan api semata-mata. Walaupun aliran trafik dan tindakan pemandu lain berada di luar kawalan anda, pilihan kewangan tetap berada dalam tangan anda.

 

Cara anda menilai masa dan membelanjakan wang ialah tanggungjawab sendiri. Dengan membuat keputusan secara proaktif dan memilih alternatif yang lebih cekap, anda tidak lagi menjadi mangsa sistem, sebaliknya menjadi pengurus kepada sumber sendiri.

 

Pada masa hadapan, perjalanan musim perayaan berkemungkinan berubah secara beransur-ansur seiring penambahbaikan keterhubungan.

 

Apabila lebih banyak pilihan tersedia, keluarga yang pulang ke kampung berpotensi menikmati perjalanan yang lebih boleh dipercayai, sekali gus mengurangkan kos tersembunyi yang selama ini sering terlepas pandang. - DagangNews.com

Parafrasa Terkini featured standard