Kerajaan dilaporkan mungkin tidak akan meneruskan projek lorong bercahaya dalam gelap (glow-in-the-dark) di jalan-jalan lain selepas menilai beberapa faktor, antaranya kos yang tinggi.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata,kos yang terlibat dalam projek tersebut terlalu tinggi, menyebabkan kerajaan mungkin akan menghentikan pelaksanaan projek ini.
“Kosnya terlalu tinggi, jadi kami mungkin tidak akan meneruskan projek jalan Glow in the Dark,” kata Ahmad Maslan memetik laporan dari The Rakyat Post.
Selain faktor kos, Ahmad Maslan turut menjelaskan projek rintis yang dilaksanakan di beberapa kawasan terpilih tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pakar kementerian.
Projek pertama yang dijalankan di Semenyih, Selangor, melibatkan laluan sepanjang 245 meter antara Jalan Sungai Lalang dan Jalan Sungai Tekali. Projek ini mendapat perhatian ramai dan mendorong beberapa kerajaan negeri untuk mencubanya, antaranya Kedah di Padang Terap dan Johor.
Namun, penggunaan cat fotoluminesen yang menelan kos RM749 bagi setiap meter persegi, iaitu 19 kali ganda lebih mahal berbanding cat jalan konvensional yang hanya berharga RM40 setiap meter persegi, menjadi isu utama.
Walaupun mendapat perhatian positif dan dicontohi di negeri lain seperti Johor, yang mengenal pasti 31 jalan untuk projek yang sama, keputusan yang kurang memuaskan menyebabkan kerajaan menilai semula keberkesanan pelaksanaannya.
The post Kos tinggi, kerajaan pertimbang hentikan projek lorong glow-in-the-dark – Ahmad Maslan appeared first on The Reporter.

