Kossan raih pengiktirafan MBOR menerusi Program Rantaian Nilai Hijau 

LocalBusiness & Finance
18 Jul 2023 • 4:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kossan raih pengiktirafan MBOR menerusi Program Rantaian Nilai Hijau

zulfadli

18/07/2023 - 16:27

KUALA LUMPUR 18 Julai - Kossan Rubber Industries Bhd meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pengeluar sarung tangan pertama di Malaysia menjalin kerjasama strategik bersama Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Program Rantaian Nilai Hijau (GVC) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kossan, Tan Sri Lim Kuang Sia berkata, untuk mencapai Penghijauan Rantaian Bekalan memerlukan pemahaman dan usaha secara kolektif daripada semua pemegang taruh.

"Untuk itu, kami berterima kasih kepada pembekal kami atas semangat dan kerjasama mereka untuk menjadi sebahagian daripada program ini.

"Baru-baru ini, kami telah menerima maklum balas positif dan penghargaan yang memberangsangkan daripada pemegang taruh kami, bahawa, program GVC ini dianjurkan tepat pada masanya dan banyak memberikan sumber maklumat, panduan dan insentif," katanya dalam kenyataan media di sini.

Pengerusi Kelestarian Kossan, Lawrence Lim berkata, pihaknya berbangga mendapat pengiktirafan daripada MBOR atas usaha mereka dan meneruskan usaha untuk memupuk amalan kemampanan di Kossan, menginspirasikan perubahan positif industri mereka.

GVC memperkukuh nilai kemampanan korporat Kossan dan memperkasakan pembekal PKS dengan mengenal pasti garis dasar serta bahagian yang menyumbang kepada operasi pelepasan karbon mereka bagi membantu peralihan kepada operasi rendah karbon, membuktikan penglibatan Kossan dalam usaha menjaga alam sekitar, tanggungjawab sosial, dan takbir urus (ESG).

Sejak pelancaran Program GVC pada 7 Mac 2023, Kossan mencatatkan kemajuan yang ketara dalam usaha menarik pembekal PKS untuk turut sama mengambil bahagian dalam inisiatif kemampanannya.

image is not available

Sebanyak 21% daripada PKS Kossan mengikuti latihan kemampanan, bagi mendalami hal-hal berkaitan dengan pengurusan dan pelaporan karbon.

72% daripada mereka menggunakan perisian perakaunan karbon yang disediakan oleh Pantas. Program ini juga membolehkan PKS mendapat akses kepada Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) bagi membiayai modal kerja atau perbelanjaan modal PKS yang berkaitan dengan ESG pada kadar berpatutan.

Kejayaan dalam mewujudkan program perintis untuk para pembekalnya ini menerusi kerjasama strategik dengan BNM adalah selaras dengan matlamat Dasar Kelestarian Prinsip L.I.V.E. Kossan untuk mencipta nilai yang dikongsi bersama menerusi sebuah ekosistem yang mampan.

Alam Sekitar adalah salah satu nilai utama Kossan yang berteraskan kesediaan untuk menerokai kaedah baru dalam usaha memperjuangkan kemampanan, sama ada memperkasakan pembekal PKS mereka atau berpandukan Prinsip L.I.V.E. Kossan.

Anugerah terhormat ini mengukuhkan lagi kedudukan Kossan sebagai sebahagian daripada pemacu kemampanan yang membentuk masa depan yang lebih hijau untuk Malaysia.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kossan dan inisiatifnya yang lain, sila kunjungi kossan.com.my. - DagangNews.com