Kota Belud tapak cadangan ILP kedua Sabah

29 Dec 2022 • 5:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kota Belud dipilih sebagai lokasi cadangan kedua untuk mewujudkan Institut Latihan Perindustrian (ILP) baharu di negeri ini.

Mengesahkan demikian, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapa Sakmud berkata, cadangan itu, bagaimanapun, masih di peringkat awal.

Katanya, ketika ini hanya terdapat satu ILP di Sabah iaitu di Kota Kinabalu dan satu lagi di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Dengan adanya sebuah lagi ILP, ia dijangka dapat menampung peningkatan jumlah pelajar membabitkan kawasan Kudat, Kota Marudu, Pitas serta Ranau.

“Mereka tidak perlu lagi belajar jauh sehingga ke Kota Kinabalu dan Labuan… Ini akan memberikan banyak keselesaan dalam kalangan pelajar kita kelak,” katanya di sini, Rabu.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, ketika ini ILP Kota Kinabalu menjadi tumpuan utama pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Lebih membanggakan apabila hampir 100 peratus pelajar memperoleh peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di ILP.

“Kita mencadangkan agar lepasan ILP ini akan meneruskan pengajian mereka ke peringkat Diploma juga di ILP, pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pada Selasa, beliau turut membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu.

Katanya, pertemuan itu membincangkan pelbagai perkara khususnya bagaimana Kementerian Sumber Manusia dapat membantu Kerajaan Negeri dalam memantapkan kemahiran pekerja dan pembinaan modal insan.

“Penekanan dan fokus utama akan dibuat untuk membantu meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat GLC Sabah melalui HRD Corporation yang menyediakan latihan-latihan peningkatan kemahiran.

“Kementerian dan Kerajaan Negeri juga akan berkerjasama dalam melahirkan tenaga mahir melalui Modul TVET dan memastikan kadar pengangguran di negeri ini dapat dikurangkan melalui program Pameran Kerjaya yang dilaksanakan oleh Perkeso,” katanya.

Turut hadir pada kunjungan itu, Adun Api-api merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew, Adun Inanam Peto Galim serta ketua-ketua Jabatan Kementerian Sumber Manusia yang berpangkalan di Sabah.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.