
KUALA LUMPUR – Misteri kotak plastik yang mencetuskan kebimbangan selepas ditemui di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling di sini pada Isnin lalu terjawab apabila ia disahkan mengandungi peralatan permainan untuk aktiviti team building (pembinaan pasukan).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya telah dihubungi seorang pengarah syarikat yang menguruskan latihan dan aktiviti bagi memaklumkan bahawa kotak berkenaan adalah milik syarikatnya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kotak tersebut ditinggalkan oleh seorang pekerja syarikat dikenali sebagai Chong dan mengandungi 20 unit bata plastik permainan ‘radioactive bomb’ (bom radioaktif).
“Menurut pengarah syarikat berkenaan, peralatan tersebut digunakan sebagai permainan dalam aktiviti team building secara berkumpulan. Syarikat itu telah menganjurkan program di Ipoh, Perak pada 11 dan 12 September lalu. Selepas program tamat, pekerja terbabit membawa pulang peralatan permainan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, 12 September lalu, Chong dipercayai tertinggal kotak tersebut di hadapan Watsons Sri Petaling ketika dalam perjalanan pulang.
“Kejadian itu dipercayai berlaku akibat keletihan selepas selesai mengikuti program team building. Berdasarkan keterangan yang diperoleh, kotak plastik dan barangan di dalamnya merupakan peralatan permainan dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kegiatan jenayah,” katanya.
Sebelum ini, penemuan kotak plastik mencurigakan di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling mencetuskan kebimbangan selepas pemeriksaan awal mendapati bacaan radiasi agak tinggi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan objek tersebut pada pukul 12.57 tengah hari daripada seorang wanita berusia 33 tahun.
Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Kuala Lumpur bersama Unit CBRE (Unit Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan) Bukit Aman serta Agensi Nuklear Malaysia kemudian hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian lanjut. (Newswav)
UPB kemudiannya menggunakan Recoilless Disruptor 5.0 bagi memusnahkan objek yang disyaki berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Kotak plastik disangka bom rupanya permainan ‘team building’ appeared first on Kosmo Online.





