KUALA TERENGGANU - Pemilik sebuah pasar raya koperasi di sini diberikan tempoh selama tiga hari untuk mengemukakan jawapan bertulis berhubung isu penjualan daging busuk dalam satu program yang tular di media sosial pada Sabtu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, selain laporan bertulis, pegawai penyelaras pasar raya berkenaan turut diarahkan untuk tampil memberi penjelasan secara bersemuka pada Ahad.
Menurutnya, pihak pengurusan premis tersebut juga diminta menyerahkan laporan rasmi itu dengan segera walaupun mereka difahamkan akan mengadakan satu mesyuarat tergempar di peringkat dalaman.
"KPDN negeri mengambil maklum mengenai hantaran yang tular di laman sosial membabitkan aduan seorang pengguna yang terkesan dengan isu kualiti daging yang dibeli pada program jualan tersebut.
"Kita memandang serius setiap aduan dan maklum balas daripada pengguna bagi memastikan pelaksanaan program itu sentiasa mencapai matlamat dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan yang berkualiti pada harga berpatutan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan tular seorang pelanggan yang meluahkan kekecewaan terhadap sikap tidak jujur peniaga selepas mendakwa terbeli daging busuk dalam program jualan murah berkenaan.
Sebelum ini, pengguna terbabit bertindak memuat naik gambar beberapa ketul daging serta tulang yang sudah bertukar warna kehitaman menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Mohd Mufsi berkata, setiap operator atau pengusaha pasar raya yang diberikan tanggungjawab mengendalikan program itu wajib memastikan kesemua produk jualan berada dalam keadaan segar dan elok.
Jelas beliau, berdasarkan peraturan dan syarat ketat yang ditetapkan KPDN, tindakan tegas tanpa kompromi menanti mana-mana peserta yang culas.
"Tindakan tegas termasuk pemberian amaran keras, menyenarai hitam atau membatalkan terus penyertaan peserta dan peniaga akan diambil sekiranya mereka didapati melanggar syarat program itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihak pengurusan pasar raya terbabit telah mengambil langkah awal dengan menghubungi mangsa bagi menawarkan penggantian produk atau pemulangan wang semula tertakluk kepada bukti pembelian.
Pihak premis juga memberi jaminan bahawa semakan dalaman sedang dijalankan dan langkah drastik akan diambil bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.



