KPDN harap peruntukan tambahan bagi laksana Jualan Rahmah dalam skala lebih luas

LocalPolitics
18 Aug 2023 • 7:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MUAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan tahun hadapan bagi membolehkan Program Jualan Rahmah dilaksanakan dalam skala lebih luas.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya akan mengesyorkan cadangan itu pada minggu hadapan ketika sesi libat urus kedua-dua kementerian untuk inisiatif Belanjawan 2024 susulan sambutan luar biasa daripada pelaksanaan Jualan Rahmah.

Beliau berkata ia juga bertujuan meneruskan program tersebut pada tahun mendatang, yang merupakan legasi perjuangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Kita harapkan peruntukan dapat ditambah kepada RM150 juta atau RM200 juta, ditambah daripada RM100 juta (yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2023).

“Kalau boleh dipertimbangkan untuk tahun hadapan (supaya) kita dapat melaksanakannya dalam bentuk lain termasuk secara bergerak,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas tinjauan mesra Jualan Rahmah Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram di JDT Corner Big Screen Southern Tigers, Dataran Cenderawasih Sungai Abong di sini hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta sebagai tambahan kepada inisiatif Jualan Rahmah sedia ada. -Bernama