KPDN jawab pengeluaran tepung bersubsidi

20 Mar 2024 • 9:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Subsidi tepung gandum untuk kegunaan am telah ditamatkan mulai tahun ini. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan bahawa subsidi tepung gandum kegunaan am telah ditamatkan mulai tahun ini.

Menurutnya, pengeluaran tepung bersubsidi tidak dapat diteruskan berikutan pengilang tidak mampu untuk mengeluarkan tepung bersubsidi pada harga kawalan RM1.45 per kilogram.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada Selasa yang bertanya sehingga bilakah barangan bersubsidi seperti gula, tepung, minyak petrol dan sebagainya yang diberikan oleh pihak Kerajaan dapat dinikmati oleh warga asing.

Katanya, ini kerana tujuan asal pemberian subsidi adalah bagi membantu meringankan bebanan rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Armizan menjelaskan, kerajaan sedang melaksanakan penyasaran semula subsidi yang hanya akan memanfaatkan kumpulan sasar warganegara yang layak sahaja.

Tambahnya, satu mekanisme sedang dibangunkan di peringkat kementeriannya untuk menyasarkan minyak masak bersubsidi kepada mereka yang layak membeli di peringkat runcit.

"Kerajaan juga sedang melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS 2.0) bagi menangani impak kenaikan harga barangan kepada pengguna," katanya.

Jelas beliau, pada masa ini kerajaan telah menguatkuasakan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing di semua stesen minyak di seluruh negara.

Katanya, kenderaan asing hanya boleh mengisi petrol RON97 di stesen minyak manakala untuk diesel bersubsidi, kenderaan asing hanya boleh mengisi tidak lebih daripada 20 liter bagi stesen minyak dalam jarak 50km (kilometer) dari sempadan Singapura dan Thailand serta 30km dari jarak sempadan Indonesia dan Brunei.

"Kerajaan juga telah menamatkan subsidi gula mulai 26 Oktober 2013 dan sejak itu, gula putih bertapis hanya dikawal melalui pewartaan harga kawalan sahaja yang dinikmati oleh seluruh penduduk Malaysia termasuk warga asing," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!