KPDN Kelantan kesan taktik peniaga naikkan harga barangan berdasarkan pemakaian pelanggan

08/09/2025 - 09:13
Anggota penguatkuasa KPDN Kelantan melakukan pemeriksaan harian di Kota Bharu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 8 Sept – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan masih ada segelintir peniaga di negeri itu yang menaikkan harga barangan daripada harga asal berdasarkan pemakaian pelanggan.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, kesalahan itu dikesan hasil aduan orang ramai termasuk daripada peniaga di premis tepi jalan.
“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka memanipulasi harga terhadap pengguna.
“Jika pelanggan berpakaian kemas dan segak, harga yang dijual lain manakala untuk pelanggan berpakaian biasa, harga yang dijual berbeza.
“KPDN Kelantan memberi amaran agar peniaga tidak lagi mengulang kesalahan tersebut dan operasi harian telah dilakukan untuk memastikan semua harga barangan diletakkan tanda harga,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN Kelantan telah mengeluarkan sebanyak 455 kompaun bernilai RM136,600 terhadap premis di seluruh negeri bermula Januari hingga Ogos lalu.
Katanya, kesalahan yang dikenakan kompaun termasuk tiada tanda harga, gagal meletakkan tanda harga, serta tidak menggunakan alat timbang yang ditentusahkan.
“Bagi mengekang kesalahan ini, anggota penguat kuasa KPDN sentiasa membuat pemantauan termasuk melalui kaedah penyamaran bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati,” katanya.

Terbaharu, beliau berkata, pasukan penguatkuasa KPDN Kelantan telah menjalankan Ops Samar susulan aduan awam terhadap sebuah kedai runcit di Kampung Chempaka, Jalan Panji, Kota Bharu.
“Hasil operasi mendapati peniaga terbabit enggan menjual minyak masak bersubsidi paket satu kilogram dengan alasan tiada stok.
“Namun, pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 68 kilogram minyak masak paket disimpan di stor premis berkenaan,” katanya.
Peniaga tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 16A(1)(B) Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana disyaki enggan menjual barang kawalan tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
Jika disabitkan kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi syarikat, manakala individu boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.
KPDN Kelantan menegaskan bahawa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang cuba menyorok atau menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.
Azman juga mahu orang ramai supaya menyalurkan aduan segera kepada KPDN sekiranya mengesan ketidakpatuhan oleh peniaga agar tindakan sewajarnya dapat diambil.- DagangNews.com
standard


