
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand menerusi perkongsian maklumat dalam usaha terus mengekang kegiatan penyeludupan dan ketirisan barangan bersubsidi.
Pengarahnya, Hanis Yusabra Yusuf berkata, usaha itu sekali gus memperkasa hubungan yang terjalin sebelum ini dalam mengatasi ancaman penyeludupan.
“Kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa membuktikan komitmen tinggi dalam membanteras kegiatan penyeludupan rentas sempadan.
“Perkongsian ini penting supaya setiap maklumat dapat disalurkan dengan baik dalam membendung aktiviti berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) 2026 Penggal 2024/ 2026 di sini, hari ini.
Hanis Yusabra berkata, tindakan pihak berkuasa yang merobohkan pengkalan haram di kawasan sempadan Sungai Golok yang bersempadan Kelantan pada tahun ini juga banyak membantu pelbagai kes penyeludupan barang kawalan.
Sementara itu, beliau berkata, KPDN Kelantan merekodkan 742 kes penguatkuasaan dengan 135 individu ditahan bagi membantu siasatan sehingga 31 Julai lalu.
Katanya, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam membanteras pelbagai bentuk pelanggaran undang-undang berkaitan perdagangan dalam negeri dan kepenggunaan.
“Kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 merekodkan jumlah tertinggi iaitu 318 kes, diikuti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sebanyak 205 kes, Akta Timbang dan Sukat 1972 (191 kes), Akta Perihal Dagangan 2011 (21 kes), Akta Cap Dagangan 2019 (empat kes) dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (tiga kes).
“Sepanjang tempoh tersebut, nilai rampasan barang kawalan direkodkan sebanyak RM552,078.54, manakala nilai rampasan keseluruhan mencecah RM4,022,532.85. Bagi tindakan kompaun pula, sebanyak 443 kes telah dikompaun dengan jumlah kutipan keseluruhan RM332,100 hasil tindakan pemeriksaan,” katanya. – UTUSAN
The post KPDN Kelantan kongsi maklumat dengan Thailand atasi penyeludupan, ketirisan appeared first on Utusan Malaysia.






