KPDN Kelantan rampas barangan seludup bernilai RM5 juta

LocalPolitics
23 Dec 2024 • 2:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azman (kanan) memeriksa tanda harga semasa Program Walkabout Skim Harga Murah Musim Perayaan Krismas 2024 dan Program Jualan Rahmah Madani di Pasar Raya Lotus, Kota Bharu pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas pelbagai barangan kawalan termasuk bersubsidi bernilai RM5 juta yang cuba diseludup ke Thailand bagi tempoh Januari hingga Disember tahun ini.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, ia melibatkan 620 kes iaitu barangan berupa petrol, diesel, minyak masak, gula dan gandum.

"Pada masa yang sama, sebanyak 210 tangkapan telah dilakukan membabitkan warganegara 197 orang dan bukan warganegara (13).

"Ia melibatkan 21 wanita dan 189 lelaki yang ditahan menerusi operasi termasuk di kawasan sempadan Kelantan-Thailand," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu beliau merasmikan Program Walkabout Skim Harga Murah Musim Perayaan Krismas 2024 dan Program Jualan Rahmah Madani di Pasar Raya Lotus di sini.

Menurut beliau, ia melibatkan kes di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu dengan jumlah denda RM150,000 dan kompaun RM136,000.

Dalam perkembangan sama, Azman memberitahu, KPDN Kelantan telah merekodkan sebanyak 1,151 aduan sepanjang tahun ini, berbanding tahun lepas (1,222).

Ujarnya, dalam tempoh yang sama pihaknya juga mengambil sebanyak 1,025 tindakan kes atas pelbagai kesalahan iaitu penyelewengan, penyeludupan, barang tiruan dan menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum serta tidak mempamerkan tanda harga.