KPDN Kelantan rampas pelbagai barangan bernilai RM5.2 juta

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2024 • 4:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azman (kiri) semasa melakukan walkabout sempena pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 di Pasaraya Econsave Pasir Puteh pada Isnin.

image is not available
Azman (tiga dari kiri) merasmikan walkabout sempena pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 di Pasaraya Econsave, Pasir Puteh pada Isnin.

PASIR PUTEH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas pelbagai barangan bernilai RM5.2 juta menerusi beberapa operasi pemeriksaan yang dijalankan sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pada masa sama sejumlah RM182,850 kompaun turut dikeluarkan kepada peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Kenderaan, pakaian tiruan, barangan kawalan seperti gula, minyak, tepung gandum serta lain-lain antara yang dirampas sepanjang pemeriksaan tersebut," katanya pada sidang media, Isnin.

Sebelum itu, beliau merasmikan walkabout sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di Pasaraya Econsave di sini.

**media[2866332]**

Menurut Azman, seramai 144 pegawai penguat kuasa dan 84 Pegawai Pemantau Harga telah melakukan pemeriksaan di seluruh negeri.

Ujarnya, bermula Januari sehingga kini, sebanyak 65,131 pemeriksaan telah dilaksanakan seluruh negeri melibatkan pelbagai operasi dan pemantauan harga.

Azman memberitahu, daripada jumlah itu sebanyak 874 kes telah dihasilkan melibatkan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

Tambah beliau, kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal serta tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dipamerkan untuk jualan antara kesalahan lain dikesan oleh KPDN Kelantan.